Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Istiadat Perkahwinan Diraja warisan khazanah negara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Meskipun Negara Brunei Darussalam mengalami pasang surut dalam menghadapi era globalisasi yang penuh cabaran, nilai-nilai warisan dan sejarah yang dipelihara telah dapat mengekalkan jati diri bangsa dan negara hingga ke hari ini.

    Sistem pemerintahan beraja, adat istiadat, adat resam, kehidupan beragama dan berbahasa Melayu antara warisan budaya yang kekal relevan diamalkan dan tetap kuat bertahan. Adat Istiadat Perkahwinan Diraja juga antara warisan yang masih diamalkan dan dipelihara dan turut mencipta sejarah serta dijadikan sebagai satu ristaan zaman-berzaman.

    Seluruh lapisan rakyat dan masyarakat di negara ini sudah semestinya berasa teruja bagi menyambut Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar yang berlangsung ketika ini.

    Lapan Istiadat Perkahwinan Diraja menjadi tumpuan pada kebiasaannya dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang kemudiannya disusuli Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga seterusnya Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja, Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja.

    Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja serta Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja menyusuli Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja sebelum kemuncak acara iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja.

    Keberangkatan tiba rombongan menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang dikepalai oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Hajah Siti Arbi menjelaskan keluhuran daripada adat-adat istiadat Brunei dari zaman dahulu adalah sangat halus, luas dan perlu diwarisi kepada generasi yang akan datang.
    Haji Ahmadbi menyatakan kesemua adat istiadat dalam Majlis Perkahwinan Diraja menggunakan Bahasa Dalam yang elok dan lembut yang menunjukkan keharmonian dalam berbahasa.
    Awang Norshamsudin semasa ditemui Media Permata baru-baru ini.
    Sebanyak lapan Istiadat Perkahwinan Diraja yang menjadi tumpuan pada kebiasaannya yang dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Sementara itu, Majlis Persantapan Diraja juga akan diadakan sebelum Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga dilangsungkan. Apa yang menarik lagi ialah bersempena dengan Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja, seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam juga pada kelazimannya akan dikehendaki untuk mengibarkan bendera mulai dari Gendang Jaga-Jaga dibuka sehinggalah Gendang Jaga-Jaga ditutup.

    “Istiadat Perkahwinan Diraja yang diamalkan secara turun-temurun ini perlu dipertahankan untuk dihayati dan seterusnya diperkenalkan kepada generasi-generasi yang akan datang.

    “Melalui adat istiadat ini dapat menunjukkan begitu harmoninya istiadat yang dipraktikkan terutamanya dalam Istiadat Diraja. Tambahan lagi rakyat jelata juga akan dapat menyaksikan bagaimana peringkat demi peringkat istiadat ini dijalankan yang dimulakan dengan Istiadat Bersuruh dan seterusnya,” jelas Haji Ahmadbi bin Haji Othman, 65, dari Kampung Penanjong, Tutong, mengongsikan pandangannya terhadap Majlis Istiadat perkahwinan Diraja ketika ditemui Media Permata baru-baru ini.

    Tambahnya, kesemua adat istiadat dalam Majlis Perkahwinan Diraja diadakan dengan penuh beristiadat iaitu dengan menggunakan Bahasa Dalam yang elok dan lembut yang menunjukkan keharmonian dalam berbahasa.

    Media Permata turut berkesempatan menemu bual seorang lagi warga emas, Awang Norshamsudin bin Haji Mohd Yassin, 73, dari Kampung Telamba, Tutong turut mengongsikan pandangannya.

    “Saya merasakan adat itu perlu dipertahankan kerana ia adalah warisan budaya kita selaku masyarakat Brunei.

    “Apabila kita teliti budaya yang telah diamalkan sejak turun temurun daripada generasi ke generasi sekarang telah mempamerkan kehalusan dan keaslian yang mempamerkan tatasusila kita sebagai orang Melayu dari segi pertuturan.

    “Sebagai contoh penggunaan kata ganti nama diri semasa berbicara yang begitu luhur dan berhemah sekali yang mana sebahagian dari generasi sekarang sudah tidak lagi menggunakan bahasa-bahasa tersebut. Saya melihat daripada adat istiadat perkahwinan diraja kita ia telah disusun dan diatur dengan sebaik mungkin dari awal hingga akhir dengan teratur dan ia boleh menjadi inspirasi kepada generasi masa sekarang.

    “Oleh itu, saya berpendapat agar adat-adat dalam istiadat perkahwinan diraja ini perlu untuk terus dipertahankan dan tidak boleh dilupakan kerana ia adalah sebagai perlambangan kepada bangsa kitani orang Melayu Brunei,” jelas Awang Norshamsudin.

    Hajah Siti Arbi binti Ahmad, 74, dari Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang juga bersetuju dan menjelaskan keluhuran daripada adat-adat istiadat Brunei dari zaman dahulu adalah sangat halus dan luas yang mana ia banyak digunakan sejak zaman dahulu dan perlu diwariskan kepada generasi yang akan datang.

    “Saya merasa ia haruslah diteruskan sebab generasi masa kini jarang berpeluang melihat adat istiadat yang bia- sanya dilakukan pada zaman dahulu,” kongsi Hajah Siti Arbi.

    “Oleh itu, ia harus diketengahkan dan diteruskan kepada generasi akan datang agar adat-adat yang begitu unik ini tidak dilupakan dan seterusnya akan dapat diikutkan oleh generasi akan datang.

    “Kita selaku rakyat dan penduduk di Brunei patut berasa bangga dan gembira kerana berpeluang menyaksikan Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja yang mempunyai keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri,” jelasnya ketika mengakhiri temu bual bersama penulis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...