LABUAN, 19 Sept – Isu bangunan Hotel Labuan yang terbiar sejak lebih tiga dekad akan diselesaikan sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF), kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Datuk Azhar Ahmad.
Beliau berkata LC telah menghantar beberapa cadangan pembangunan kepada MOF untuk dipertimbangkan.
“Kami berharap MOF akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Bernama News Channel berhubung bangunan usang hotel itu dan juga sebuah medan selera lama di pusat bandar yang kini mencacatkan pemandangan. Mengenai medan selera itu, Azhar membayangkan kawasan berkenaan akan dijadikan tempat letak kenderaan.
Selain itu, beliau berkata tindakan akan diambil terhadap hotel empat bintang Billion Resort Hotel (sebelum ini dikenali sebagai Waterfront Hotel) yang tidak lagi beroperasi dan di bawah penerimaan bank. – Bernama