Isu bateri, Apple bayar AS$113 juta

SAN FRANCISCO, 19 NOV – Syarikat Apple bersetuju membayar AS$113 juta untuk menyelesaikan proses perunda-ngan di mahkamah di lebih 30 negeri berikutan prestasi perlahan telefon pintar iPhone keluaran lamanya yang mengalami masalah bateri.

Penyelesaian dipanggil ‘batterygate’ itu akan membahagikan bayaran dari Apple kepada California dengan 33 negeri lain, menurut kenyataan Peguam Negara, Xavier Becerra.

“Apple merahsiakan maklumat mengenai bateri mereka yang melambatkan prestasi iPhone, memberi gambaran salah ia dikemaskini. Hal seperti ini memberi kesan terhadap wang pengguna dan membatasi kemampuan mereka untuk melakukan pembelian yang tepat,” katanya.

Keputusan Apple itu akan memastikan pengguna mudah mengakses maklumat yang mereka perlukan untuk membuat keputusan tepat ketika membeli dan menggunakan produk keluaran Apple. Langkah syarikat itu turut menyelesaikan aduan mengenai keupayaan telefon bimbit iPhone 6 dan 7 di negeri terbabit yang mendakwa ia mengalami penurunan prestasi.

Bagaimanapun, tiada komen lanjut dari pihak Apple mengenai perkara itu.

Dalam dokumen mahkamah, iPhone bersetuju melakukan pembayaran untuk ‘tujuan penyelesaian’ tetapi tidak mengaku bersalah terhadap aduan yang dibangkitkan. – AFP