Isu gaji kurang sebab masalah sistem baharu

Oleh Sim Y.H. & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Pada masa ini, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menggunakan sistem baharu yang baru saja dimulakan di mana didapati telah berlakunya gangguan sistem berkenaan.

Oleh itu, pada masa ini Kementerian Kewangan dan Ekonomi sudah mengambil langkah-langkah untuk memeriksa isu berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menambah, hal berkenaan telah dikenal pasti dan sedang dibincangkan bersama pembangun sistem.

Yang Berhormat Dato menekankan perkara itu semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan ketika mengulas tentang maklumat tular mengenai kekurangan jumlah separuh gaji pertama bagi Oktober yang diterima oleh sebahagian penjawat awam.

Beliau menambah, bagi mereka yang mempunyai kekurangan jumlah gaji, pembayaran kekurangan tersebut akan dilakukan esok atau Isnin depan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Pihak bank turut dimaklumkan mengenai isu berkenaan, jelas Yang Berhormat Dato sambil memohon para pekerja yang berkenaan agar dapat memahami akan isu yang dihadapi tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga mengesahkan perkara itu dalam kenyataan yang dikeluar-kan di sini, hari ini, yang menyatakan bahawa setelah siasatan dibuat, terdapat system glitch ke atas pembayaran berkenaan.

Kenyataan menjelaskan bahawa Jabatan Perbendaharaan bersama-sama pembekal sistem telah dapat menangani isu berkenaan dan pembayaran akan dibuat ke atas kekurangan bayaran gaji dalam masa terdekat melalui akaun masing-masing.

Seterusnya, Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga akan memastikan bahawa perkara ini tidak akan berulang lagi dan berterima kasih kepada para penjawat awam kerana memahami situasi ini.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Jabatan Perbendaharaan di talian 2383444, e-mel ke [email protected] atau [email protected]