Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Isu-isu COVID dibangkitkan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Pelbagai isu berkaitan pengurusan kes COVID, prosedur operasi standard (SOP), pendidikan, vaksinasi kanak-kanak telah dizahirkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID di Istana Nurul Iman, hari ini.

    Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam telah berhadapan dengan wabak penyakit COVID-19 sejak bulan Mac 2020. Pada masa itu, seluruh rakyat belum mempunyai dinding pertahanan terhadap imuniti dalam menghadapi wabak ini.

    “Namun, atas berkat kerjasama daripada semua pihak, kita telah berjaya memutuskan rangkaian penularan wabak dengan perlaksanaan langkah-langkah pengawalan yang ketat sehingga Brunei telah mencapai sifar COVID dan kita telah kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID di Istana Nurul Iman.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID di Istana Nurul Iman, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    (ATAS-BAWAH) Antara menteri kabinet yang hadir semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID di Istana Nurul Iman, kelmarin.

    Namun, titah Baginda lagi, pada 7 Ogos 2021 telah timbul kes-kes tempatan pertama yang mengakibatkan terjadinya gelombang kedua pandemik di negara ini. Langkah-langkah pengawalan telah diperketat semula sebagai respons untuk mengawal wabak ini daripada terus merebak.

    “Akan tetapi kes-kes positif semakin hari semakin meningkat lebih-lebih lagi dengan adanya varian Delta yang sangat mudah menjangkit dengan cepatnya manakala rakyat rata-ratanya belum divaksinasi atau ada yang cuma menerima satu dos vaksin sahaja.

    “Kawalan pergerakan yang diperketat walaupun mempunyai niat yang baik bagi menjaga kemaslahatan masyarakat umum namun tidak dapat dinafikan ianya mempunyai impak risiko sampingan baik daripada aspek sosial, mental dan sekuriti,” tekan Baginda.

    Baginda Sultan turut menekankan mengenai maklumat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan.

    Baginda bertitah bahawa negara telah beralih daripada Fasa Pandemik ke Fasa Awal Endemik sejak 15 Disember 2021 iaitu apabila Program Vaksinasi Kebangsaan mencapai 80 peratus.

    “Namun dengan kemunculan varian baharu Omicron yang dianggap mudah merebak telah mengakibatkan kes jangkitan di negara ini terus meningkat dari hari ke hari sehingga menimbulkan kebimbangan, tetapi maklumat yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan menyebut bahawa majoriti kes-kes aktif hanya dalam kategori 1, 2 dan 3 sahaja.

    Sementara mereka yang dimaksudkan ke dalam kategori 4 dan 5 ada yang telah divaksinasi dengan lengkap atau mempunyai masalah kesihatan lain,” titah Baginda.

    Begitu juga mengenai kematian, ada yang dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19 dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan disebabkan COVID.

    Apa pun kategorinya, menurut Baginda, semua itu tetap membimbangkan kerana tidak siapa pun yang mahu untuk dijangkiti sama ada berupa kategori 1 atau 2.

    “Begitu juga dengan kes-kes kematian yang telah disahkan menghidap COVID-19. Pada hemat Beta, tidak patut untuk dicari lagi sebab-sebab lain tentang kematiannya melainkan memang tergolong dalam kalangan penghidap COVID-19,” tegas Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengambil maklum bahawa negara telah berusaha untuk memberikan perlindungan kepada rakyat dan penduduk dengan memberikan vaksinasi pada kadar lebih 94 peratus telah menerima dua dos vaksin dan lebih 56 peratus pula bagi dos ketiga atau penggalak yang kesannya mengikut kajian luar negara dapat mengurangkan gejala COVID-19.

    SOP biasa dan agama

    Baginda mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Pandu COVID telah merangka beberapa strategi bagi memastikan penularan COVID dapat dikawal dan dalam masa yang sama membolehkan rakyat dan penduduk menjalani kehidupan dalam norma baharu, dapat menjana pendapatan dan menjamin pekerjaan.

    Di antara strategi itu, termasuklah sekatan kemasukan warga asing dan mendapatkan kebenaran dari Jabatan Perdana Menteri bagi setiap perjalanan ke luar negara.

    “Ini pada pendapat Beta ada kaitannya dengan SOP, di sini kita jangan lupa bahawa SOP itu ada dua: Satu, SOP biasa dan satu lagi SOP agama.”

    Menurut Baginda, kedua-dua SOP tersebut perlu dilihat dengan saksama sehingga dapat dikenal pasti kepentingannya.

    “SOP biasa adalah hasil daripada budi bicara manusia sementara SOP agama datangnya daripada Maha Pencipta manusia. Perkara ini perlu dilihat dengan kaca mata ilmu berdasarkan akidah,” tekan Baginda.

    Baginda bersetuju dengan pendapat bahawa SOP masih sahaja perlu diteruskan seperti pemakaian pelitup muka, pengimbasan kod QR, penjarakan sosial dan lain-lain yang dianggap mampu untuk memberikan perlindungan kepada rakyat dan negara dengan mengambil kira situasi yang ada.

    “Telah pun menjadi kenyataan bahawa kemunculan varian Omicron telah banyak menjejaskan strategi yang ada iaitu dengan meningkatnya kes-kes jangkitan sehingga mencapai kepada empat angka, dengan angka awal, pada mulanya hanya satu atau dua tetapi telah meningkat setakat ini kepada lebih 4,000 dan mungkin tidak lama lagi mencapai angka 5,000, jika peningkatan terus berlaku setiap hari.

    “Bolehkah kita tidak perlu risau dengan perkembangan seperti ini? Namun, masih ada maklumat yang tidak dimaklumkan kepada umum secara telus sehingga rakyat dan penduduk di negara ini merasa takut dengan keadaan sebegini. Adakah kaedah yang digunakan pada masa ini untuk menguji COVID-19 bersesuaian?,” soal Baginda.

    Baginda dimaklumkan bahawa statistik harian yang semakin meningkat adalah berpandukan kepada jumlah ujian saringan ART yang dibuat secara persendirian bermula 18 Februari 2022. Walhal, negara-negara luar hanya mengesahkan jumlah kes-kes positif berdasarkan jumlah ujian saringan PCR yang dilaksanakan dan juga ujian saringan ART yang dikendalikan secara profesional.

    Baginda percaya jika mereka mengikut kaedah yang dibuat oleh negara ini, purata kes positif mereka juga akan jauh lebih tinggi.

    “Mungkin kaedah ini lebih tepat, namun persoalannya adakah pihak awam mengetahui ketiadaan perkongsian maklumat ini juga telah menimbulkan perbandingan dengan negara luar sehingga ada yang mengatakan ‘Brunei gagal menangani COVID-19’. Beta percaya dari perspektif public health, Brunei telah berusaha sebaik mungkin,” tegas Baginda.

    Pendidikan dan kluster

    Baginda turut menyentuh mengenai keadaan penuntut-penuntut atau pelajar pada masa ini yang mana sebelum sidang media pada 4 Mac, mereka dibolehkan menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di sekolah-sekolah.

    Baginda Sultan bertitah mempersoalkan, “Apakah di kalangan mereka itu tiada sebarang masalah? Yang kedengaran, masalah itu memang ada, iaitu terdapat mereka yang mengetahui mereka itu positif tetapi masih hadir ke sekolah sehingga ada guru-guru turut dijangkiti.

    “Jika ini senarionya, bagaimanakah pihak sekolah dapat memastikan penularan tidak berlaku di sekolah. Pada 4 Mac yang baru lalu dalam sidang media, Menteri Pendidikan telah menerangkan trend kehadiran golongan pelajar menghadiri pusat pengajian dan sekolah-sekolah di negara ini mengalami kemerosotan dari hari ke hari tetapi tidak menyebut mengapa kemerosotan itu berlaku. Menteri hanya terus mengumumkan bahawa kaedah pembelajaran secara dalam talian akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 7 Mac 2022,” titah Baginda.

    Baginda percaya alasan kehadiran merosot adalah kerana kebimbangan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah dengan tanggapan terdapatnya penularan COVID di sekolah-sekolah. Baginda bertitah menekankan bahawa perkara tersebut perlu diambil perhatian oleh jawatankuasa.

    Menyebut perkara tersebut, Baginda Sultan bertitah teringat mengenai isu kluster. Menurut Baginda, pada gelombang pertama sejak Mac 2020 yang lalu, jumlah kluster baharu akan dikongsi kepada orang ramai. Tetapi apabila kita beralih kepada Fasa Awal Endemik, ianya tidak lagi dikongsikan.

    “Soalnya, tidakkah ini boleh dianggap sebagai menyembunyikan maklumat, sedangkan orang ramai tetap memerlukan maklumat,” Baginda Sultan mempersoalkan.

    “Jika kluster baharu tidak perlu diketahui oleh orang ramai, tidakkah ini mungkin berisiko menyebabkan orang ramai boleh terjebak menghampiri atau memasuki tempat-tempat kluster itu. Beta minta penjelasan daripada jawatankuasa ini,” tegas Baginda.

    Kes terus meningkat

    Seterusnya, Baginda bertitah mempersoalkan sebab apakah kes-kes pada masa ini semakin meningkat.

    “Kita masih lagi merekodkan adanya kes-kes positif daripada kemasukan warga asing di samping juga kes-kes tempatan. Yang turut penting dilihat, adakah kes-kes itu menurun atau meningkat, jika menurun apa sebabnya, dan jika meningkat, apa pula sebabnya?,” soal Baginda.

    “Inilah yang utama untuk dibahaskan oleh jawatankuasa ini. Bukan setakat merekodkan atau menghitung jumlah jangkitan. Ertinya kajian adalah perlu, dan jika sudah ada hasil kajian, maka barulah boleh difikirkan apakah langkah yang sesuai untuk diambil seterusnya,” tegas Baginda.

    Baginda menekankan “kes-kes sekarang ternyata kian meningkat, apakah sebabnya? Padahal program vaksinasi kita boleh dikatakan hebat tetapi kes positif tetap dan terus juga meningkat. Jadi apa lagi yang perlu kita buat. Kata kita, SOP dan vaksinasi sudahpun dilaksanakan tetapi soalnya, kes positif masih sahaja terus meningkat.”

    Sebagai perbandingan, Baginda bertitah bahawa negara kita belum pernah mengisytiharkan lockdown berbanding beberapa negara di dunia. Terdapat antara negara-negara itu ada yang berulang kali mengambil sikap mula-mula melonggarkan sekatan, selepas itu mengisytiharkan semula.

    “Beta ingin tahu apa pendapat jawatankuasa mengenai langkah beberapa negara yang mengulang-ulang pelonggaran sekatan dan kemudian mengisytiharkan semula. Apa komen ahli-ahli jawatankuasa?,” soal Baginda.

    Baginda menegaskan ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada para menteri berkewajipan untuk sentiasa menilai dan menimbang masak-masak semua aspek tanpa tahan-tahan, berpegang kepada satu pendapat atau satu pendirian semata-mata termasuklah jangan cepat-cepat meniru atau menggunakan pendekatan-pendekatan yang menyalahi logik dan akidah seperti mengambil sikap terbuka dan bebas tidak mahu lagi peduli dengan jangkitan lalu terus membuang atau membuka sahaja sekatan ini.

    “Ini tidak betul, kerana langkah begini adalah sama seperti mencampakkan diri kepada kebinasaan, agama kita melarang yang sedemikian itu. Pada hemat Beta, dalam situasi yang masih membimbangkan ini, belumlah masanya untuk kita melonggarkan sekatan dengan mengambil sikap mudah, mengurangkan pemantauan, pengawalan dan perawatan,” tekan Baginda lagi.

    “Beta juga belum bersedia untuk bersetuju memberhentikan pengumuman harian kepada rakyat mengenai perkembangan jangkitan kerana bukankah pengumuman itu sifatnya notis untuk diambil perhatian oleh rakyat. Kalau tidak ada pengumuman, tidakkah ini ertinya kita menyembunyikan maklumat, sedang orang ramai mahu mengikut perkembangan dan berhajat sama kepada garis panduan.

    “Selagi belum terdapat alternatif yang lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat penting yang jelas berkenaan keadaan penularan COVID-19 di negara ini, pada hemat Beta, Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan secara harian oleh Menteri Kesihatan dinilai masih merupakan wadah yang terbaik untuk menyampaikan maklumat situasi harian.”

    Baginda Sultan bertitah, dalam usaha untuk menggubal strategi menangani COVID dan mengurangkan impak yang timbul daripada kemungkinan jawatankuasa ini terlepas pandang mengenai kepentingan matlamat dan hala tuju keputusan yang diambil untuk disebarluaskan dan diselaraskan kepada semua peringkat rakyat hingga ke akar umbi.

    Protokol kesihatan

    Seterusnya, Baginda bertitah mengenai dengan protokol-protokol kesihatan terkini yang telah dikeluarkan dan diberigakan pada 5 Mac lalu, yang menurut Baginda, ianya dilihat masih terlalu panjang dan mungkin akan mengambil masa untuk dibaca dan difahami.

    “Bukankah lebih baik ianya diringkaskan akan tetapi mencapai maksud yang diharapkan seperti yang telah dikeluarkan oleh negara-negara lain,” soal Baginda lagi.

    Baginda juga kurang memahami apabila COVID disifatkan sebagai tidak akan berakhir sampai bila-bila.

    “Sedangkan petunjuk agama, setiap penyakit itu ada ubatnya dan Allah SWT pula adalah Maha Berkuasa untuk menyembuhkan apa sahaja penyakit. Jadi tanggapan atau kenyataan COVID tidak akan berakhir seolah-olah kita mendahului Allah dan menyangkal kuasaNya.

    “Sedang dalam sejarah, macam-macam wabak sudah pernah berlaku, seperti pada tahun 1340, wabak Black Death yang pernah menyerang Asia Tenggara sehingga merebak ke Eropah. Pada penghujung perang dunia pertama tahun 1918 pula berlaku wabak selesema Sepanyol dan lain-lain. Tetapi semua wabak ini menemui penghujungnya berakhir, mengapa pula wabak yang muncul mutakhir COVID-19 tidak ada akan penghujungnya
    “Demikian juga, sering-sering didengar orang berazam mahu memerangi COVID-19 malah ada yang percaya kita manusia ini mampu untuk memenangi peperangan dengan COVID-19. Beta minta penjelasan, adakah kenyataan seperti ini tidak menyalahi akidah, kerana menurut logiknya kalau virus korona itu khusus diutus oleh Allah selaku tentera-Nya untuk mengajar manusia, adakah manusia boleh mampu untuk mengalahkan tentera Allah?,” soal Baginda lagi.

    Menurut Baginda, ianya sangat mustahak untuk diambil perhatian oleh jawatankuasa, jangan sampai kita terikut-ikut atau mengikut perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah.

    “Brunei Darussalam tidaklah rugi jika sentiasa berhati-hati dalam semua perkara termasuk mengenai penggunaan ubat-ubatan,” titah Baginda lagi.

    Vaksinasi Kanak-kanak

    Pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur lima ke 11 tahun oleh Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat turut menjadi perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda pada mesyuarat khas itu.

    “Pada hemat Beta, perkara ini elok juga dikaji masak-masak sebelum dilaksanakan kerana untuk mereka ini sudah disuntik akan berbangkit pula keperluan untuk mendapatkan dos penggalak,” titah Baginda.

    “Adakah ini sudah dikaji sedalam-dalamnya? Kerana baru-baru ini tersebar berita bahawa Badan Pengawas Ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) masih sahaja menilai vaksin koronavirus Pfizer untuk dos penggalak bagi kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.”

    Baginda Sultan bertitah bahawa pendirian badan itu sekiranya sesuai dengan laporan bahawa 547 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan di Amerika Syarikat dan risiko kematian berjumlah 12,304 daripada kalangan mereka yang telah menerima vaksin COVID-19.

    “Walaupun jumlah tersebut dianggap kecil namun risiko tersebut tetap mengerikan iaitu kematian. Sekalipun Brunei Darussalam sendiri setakat 19 Februari 2022 memberi sejumlah 1,028,073 dos namun menurut Kementerian Kesihatan tiada kes kanser kematian atau neurotoxi-city telah dikaitkan secara langsung dengan pemberian mana-mana vaksin COVID-19.”

    Baginda bertitah, “Walau bagaimanapun, dapatan Kementerian Kesihatan ini adalah dapatan awal se-takat Februari 2022 sedangkan kita belum lagi tahu ada kemungkinan adanya kesan risiko jangkitan panjang. Jadi dalam konteks ini, langkah lebih berhati-hati dan te-rus membuat kajian dan penilaian adalah memang bersesuaian lebih-lebih lagi apabila isu dikaitkan dengan kanak-kanak.”

    Catuan Makanan

    Selain itu, Baginda Sultan turut menyentuh isu bantuan catuan makanan kepada mereka yang sedang menjalani kuarantin sama ada ia dapat dilaksanakan dengan lancar dengan sempurna.

    “Dalam masa pandemik dahulu perkara ini diketahui bagus dan memuaskan tetapi kini jangkitan secara drastik meningkat dengan cepatnya, apakah pengagihan catuan juga dapat diuruskan dengan baik. Khabar-khabarnya ramai yang menjalani kuarantin itu tidak menerima catuan atau lambat menerimanya sehingga mereka tidak tahu apa yang hendak dibuat kerana ada yang berkuarantin itu ialah seisi rumah.

    “Jadi tidak ada sesiapa yang dapat keluar untuk mendapatkan makanan. Mujurlah, ada alat komunikasi canggih yang membolehkan mereka dapat berhubung dengan keluarga terdekat untuk meminta bantuan atau melanggan sendiri makanan melalui cara delivery.

    Beta ingin tahu bagaimanakah jawatankuasa menangani perkara ini,” tekan Baginda.

    Baginda juga mengambil maklum yang usaha-usaha dengan menangani masalah penularan COVID-19 telah banyak dilaksanakan oleh pihak kerajaan lebih-lebih lagi sejak penubuhan jawatankuasa ini melalui permesyuaratan.

    Namun, dengan peningkatan kes-kes positif semasa negara beralih ke Fasa Awal Endemik ini, ramai pihak awam seolah-olah mahukan supaya jawatankuasa ini mengambil tindakan yang berkesan bagi membendung penularan jangkitan wabak COVID.

    “Apa yang didengar daripada masyarakat umum seolah-olah jawatankuasa ini bersikap tenang sahaja, tidakkah jawatankuasa menyedari akan tanggapan ini,” tekan Baginda.

    Keadaan tersebut, menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, seharusnya dapat ditangani sebaik-baiknya dengan cara penyaluran dan pemberigaan maklumat yang lebih telus, ringkas dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat bagi mengelakkan pihak awam menu-ding jari kepada pihak berkenaan dan mengurangkan kegelisahan orang ramai terhadap peningkatan jangkitan yang membimbangkan ini.

    Dengan yang demikian, Baginda Sultan menitahkan jawatankuasa memikirkan situasi itu sedalam-dalamnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...