Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Isu-isu mengerjakan sembahyang ketika khatib duduk di atas mimbar pada hari Jumaat

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Para jemaah sembahyang fardhu Jumaat dianjurkan supaya datang awal ke masjid iaitu seboleh-bolehnya sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar. Adapun ganjaran atau pahala kepada jemaah yang datang awal ke masjid pada hari Jumaat ialah sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahwasanya Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Apabila tiba hari Jumaat, maka pada setiap pintu-pintu masjid akan ada malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Maka apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para malaikat pun menutup buku catatan mereka dan mereka juga datang untuk mendengarkan zikir (khutbah).

    Dan perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah seperti orang yang menyembelih korban seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    Bagi jemaah yang datang lewat ke masjid sehingga khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar pula, selain terlepas daripada memperolehi fadhilat-fadhilat di atas, dia juga akan berhadapan dengan persoalan sama ada dia terus duduk sahaja untuk mendengarkan khutbah sebagai memenuhi tuntutan untuk diam serta mendengarkannya, atau dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid terlebih dahulu sebelum duduk sebagai syi‘ar serta adab menghormati dan memuliakan masjid. Inilah persoalan yang hendak kita huraikan.

    Masuk ke dalam masjid ketika azan Jumaat dilaungkan

    Bagi jemaah yang masuk ke dalam masjid ketika azan sembahyang fardhu Jumaat sedang dilaungkan, tidak kira sama ada azan yang pertama ataupun azan yang kedua, adalah disunatkan atasnya untuk menangguhkan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid sehingga dia selesai menjawab azan.

    Para jemaah sembahyang fardhu Jumaat dianjurkan supaya datang awal ke masjid iaitu seboleh-bolehnya sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar. – Gambar fail

    Maka dalam hal ini, dia bolehlah menjawab azan tersebut dalam keadaan berdiri sahaja. Kemudian selepas azan selesai barulah dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid secara takhfif (ringan dan ringkas) supaya dia sempat mendengar awal khutbah tersebut.

    Isu-isu mengerjakan sembahyang ketika khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar

    Jemaah yang sudah sedia hadir dan duduk sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar mengerjakan sembahyang

    Bagi jemaah yang sudah sedia hadir dan duduk dalam masjid sebelum khatib naik dan duduk di atas mimbar, haram ke atasnya untuk mengerjakan apa sahaja sembahyang setelah khatib naik dan duduk di atas mimbar, tidak kira sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat, walaupun khatib belum lagi memulakan khutbahnya. Ini kerana perbuatan tersebut menggambarkan keengganan daripada mendengar khutbah. Jika dikerjakan juga, maka menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullah, sembahyangnya itu tidak sah kerana ulama telah ijmak atas keharamannya.

    Tidak ada beza dalam hal ini sama ada orang tersebut adalah orang yang wajib atasnya sembahyang fardhu Jumaat ataupun orang yang tidak wajib atasnya sembahyang fardhu Jumaat seperti perempuan, orang yang musafir dan lainnya.

    Begitu juga tidak ada beza dalam hal ini sama ada dia yakin dia sempat menghabiskan sembahyangnya sebelum khatib mula membaca khutbah ataupun tidak. Selagimana khatib sudah naik dan duduk di atas mimbar, dengan sendirinya haram ke atas jemaah yang sedia hadir dan duduk dalam masjid untuk mengerjakan apa sahaja sembahyang.

    Jemaah yang sedang bersembahyang, lalu khatib pun naik dan duduk di atas mimbar

    Adapun bagi mereka yang sedang mengerjakan sembahyang, lalu ketika mereka sedang sembahyang itu khatib pun naik dan duduk di atas mimbar, menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullah, wajib ke atas mereka itu meneruskan sembahyang mereka itu secara takhfif walaupun sembahyang yang mereka kerjakan itu adalah sembahyang fardhu. Ini kerana perbuatan senghaja memanjangkan sembahyang pada ketika itu dikira sama dengan mendirikan sembahyang yang baru. Jika dia memanjangkan juga sembahyangnya itu, maka sembahyangnya dikira batal.

    Jemaah yang baru masuk masjid sedangkan khatib sudahpun naik dan duduk di atas mimbar

    Bagi jemaah yang baru masuk masjid sedangkan pada waktu tersebut khatib sudahpun duduk di atas mimbar, ataupun sudah mula menyampaikan khutbah, menurut ulama, sunat baginya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid dan makruh baginya meninggalkannya. Di samping itu, dia juga diwajibkan untuk mengerjakan sembahyangnya itu secara takhfif. Jika dia memanjangkan juga sembahyangnya itu, maka sembahyangnya dikira batal. Namun hal ini disyaratkan apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat al-Masjid itu dia tidak takut akan terluput mengangkat takbiratul ihram bersama imam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...