CANBERRA, 19 Sept – Mereka yang didapati bersalah mencemarkan buah-buahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun di bawah undang-undang baharu, umum kerajaan Australia pada Rabu.
Undang-undang baharu itu mengenakan hukuman maksimum sama seperti kesalahan memiliki gambar pornografi kanak-kanak dan membiayai keganasan.
Perdana Menteri Scott Morrison dan Peguam Negara Kristian Porter, mengumumkan perkara itu ekoran isu pencemaran strawberi yang berlaku di Australia, menyaksikan pengguna menjumpai pin dan jarum dalam buah itu.
Menurut agensi berita Xinhua, Morrison turut menyifatkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut sebagai ‘pengecut’, sambil menyeru orang ramai terus membeli strawberi untuk menyokong petani.
“Ia bukan perkara lucu, meletakkan hasil pendapatan rakyat Australia berada dalam risiko serta menakutkan kanak-kanak.
“Kita akan cari mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya kepada pemberita di Canberra.
Porter turut mengesahkan bahawa undang-undang baharu itu akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan secepat mungkin. – Bernama