SYDNEY, 18 Sept – Polis Australia hari ini mengakui bahawa mereka masih belum mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab menyimpan jarum di dalam strawberi yang dijual di pasar-pasar raya, namun memberi amaran kepada pelakunya bahawa mereka akan berdepan dengan hukuman penjara selama sedekad.
Dengan jumlah laporan serangan semakin meningkat dan beberapa serangan serupa juga turut dilaporkan, di mana sebiji epal dan pisang telah tercemar di kawasan Sydney, pihak polis telah mengeluarkan amaran mengenai keseriusan jenayah itu.
“Ia adalah kesalahan serius yang membawa kepada penjara 10 tahun,” amaran daripada Superintenden Detektif New South Wales, Danny Doherty, yang menggambarkan pencemaran buah itu sebagai tindakan ‘khianat’.
Polis kini berkata bahawa terdapat 20 kes telah dilaporkan mengenai jarum ditemui di dalam strawberi di New South Wales sahaja, satu peningkatan dramatik daripada enam laporan awal di seluruh negara.
“Kami masih belum dapat mengesahkan motif atau sebab kenapa seseorang melakukan perkara ini,” kata Doherty.
“Seseorang yang menyimpan jarum ke dalam strawberi, meskipun sedar bahawa ia akan menjejaskan keluarga dan kanak-kanak, jelasnya ia adalah satu isu yang sangat serius.”
Kebimbangan itu telah menyebabkan pasar raya menarik balik penjualan strawberi dan bagi sebahagian kedai di New Zealand mengharamkan sementara penjualan strawberi Australia.
Tiada kecederaan serius telah dilaporkan setakat ini.
Di Queensland, pihak berkuasa telah melancarkan sokongan kewangan bagi petani, yang dipercayai terpaksa memusnahkan produk mereka.
Sebahagian pengeluar dilaporkan terpaksa menggunakan pengesan logam bagi memastikan tanaman mereka selamat untuk dimakan.
Sementara itu, pihak polis mencadangkan penduduk Australia untuk memotong strawberi terlebih dahulu sebelum digunakan dan terus berwaspada.
Kebimbangan itu telah mengalihkan tumpuan pada keselamatan makanan dan menimbulkan persoalan sama ada industri rangkanan bekalan diperhatikan secara berterusan. – AFP