Isu jerebu rentas sempadan dibawa ke AMME

KUALA LUMPUR, 8 OKT – Malaysia akan mengetengahkan isu jerebu rentas sempadan pada Mesyuarat ke-15 Menteri-menteri ASEAN Mengenai Alam Sekitar (AMME) dan mesyuarat berkaitan di Kemboja yang bermula semalam hingga Khamis ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Beliau berkata timbalannya Isnaraissah Munirah Majilis mewakili beliau bagi membincangkan masalah itu dan lain-lain isu alam sekitar yang berkaitan, termasuk sains dan teknologi kerana beliau mempunyai acara lain iaitu Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) bermula esok.

“Di peringkat ASEAN memang ada perbincangan mengenai isu jerebu tetapi kali ini YB Munirah akan membangkitkan lagi isu ini dan kita akan bincang pelbagai isu terutamanya yang berkaitan kerjasama antara negara-negara ASEAN,” katanya selepas merasmikan persidangan ‘Sustainable Brands Kuala Lumpur 2019’ di sini hari ini. – Bernama