Isu jurang pembangunan terus dibangkit

KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Isu jurang pembangunan dan ekonomi antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung terus menerus dibangkitkan Ahli Parlimen dari negeri berkenaan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Masalah infastruktur asas seperti kemudahan perbankan, kesihatan, bekalan elektrik dan air, capaian internet dan telefon menurut mereka, agak kritikal terutamanya di kawasan pedalaman.

Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) berkata jurang pembangunan antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung adalah terlalu besar walaupun kedua-dua negeri mempunyai sumber asli yang banyak terutamanya minyak dan gas.

Beliau berkata kekurangan infrastruktur asas itu juga memberi kesan dalam usaha menarik pelaburan sekali gus memberi kesan untuk ekonomi berkembang.

“Di Semenanjung semua negeri sudah dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya, malah ada banyak alternatif yang boleh dipilih jika mahu ke sesuatu tempat. Sekarang juga terdapat pelbagai projek mega melibatkan ratusan bilion ringgit.

“(Tetapi) kami di Sabah/Sarawak sekarang ini tahun 2020 baru nak mula buat Lebuhraya Pan Borneo, lebuh raya  itu pun banyak simpang kecil di kiri dan kanan ke rumah-rumah di sepanjang perjalanan,” katanya dalam usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. – Bernama