Isu kesilapan jumlah kes aktif dijelaskan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Salah satu punca kesilapan perkiraan jumlah kes aktif yang berlaku beberapa hari ini adalah disebabkan perkiraan double discharged terjadi ke atas sebilangan pesakit yang telah dibenarkan keluar dari Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) Tutong dan dipindahkan ke tempat kuarantin kerajaan tertentu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab pertanyaan media mengenai isu statistik kes aktif COVID-19 mengalami perkiraan yang tidak konsisten baru-baru ini pada sidang media, hari ini.

“Apabila diteliti lebih lanjut, didapati sesetengah pesakit yang dibenarkan keluar dari Pusat Kuarantin Kebangsaan (NIC) Tutong dan diarahkan meneruskan sesi kuarantin di tempat-tempat kuarantin kerajaan lain seperti COVID-19 Holding Area Mahad (CHAM) dan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), maka dalam perkara ini mereka sepatutnya terlebih dahulu ditandai sebagai discharged dalam sistem oleh petugas perubatan sebelum dipindahkan ke tempat lain.

“Dari situ berlakunya kesilapan dalam perkiraan kes aktif tersebut disebabkan terjadinya dua kali perkiraan discharge bagi seorang pesakit,” jelas Yang Berhormat Dato.