Isu kos cabaran baharu peruncit AS

NEW YORK, 11 Jan – Laporan membeli-belah percutian yang dikeluarkan semalam menekankan cabaran baharu yang dihadapi oleh peruncit AS dalam era Amazon – walaupun jika pengguna rela mengeluarkan dompet untuk berbelanja.

Pengemaskinian itu bersifat bercampur pada keseluruhannya, dengan beberapa peruncit melaporkan pertambahan kecil atau sederhana dalam penjualan kedai ketika tempoh November-Disember.

Namun satu laporan daripada Macy’s menimbulkan paling banyak kebimbangan di Wall Street, selepas rangkaian itu mengurangkan ramalan keuntungannya walaupun tatkala ia mengisyaratkan pertambahan sederhana dalam jualan.

Saham dalam Macy’s merosot hampir 20 peratus, sementara hampir setiap peruncit besar terjejas termasuk syarikat seperti Target yang melaporkan jualan percutian yang lebih tinggi tetapi tidak menambah ramalan keuntungan.

Keputusan merupakan finale teruk kepada musim membeli-belah percutian yang bermula dengan jangkaan tinggi disebabkan keyakinan pengguna yang memberangsangkan di tengah pasaran pekerjaan yang kukuh, harga gasolin yang rendah dan rangsangan daripada potongan cukai.

Mastercard SpendingPulse pada Disember meramalkan pertumbuhan jualan percutian 5.1 peratus kepada lebih AS$850 bilion, pertambahan paling kukuh dalam tempoh enam tahun lalu.

Berdasarkan anggaran tersebut, musim membeli-belah percutian 2018 adalah kukuh, bukan sahaja untuk peruncit.

“Ia adalah musim yang bagus. Pengguna mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan. Mereka membelanjanya,” kata pakar runding industri runcit Dana Telsey. “Namun kos untuk menjalankan perniagaan semakin meningkat sekarang.”

Peruncit tradisional telah melabur untuk mempertingkat platform online mereka dan menawarkan insentif untuk menarik pembeli, seperti penghantaran percuma ketika kemuncak musim percutian.

Pada masa yang sama, syarikat berkenaan juga telah membelanja dengan banyak untuk mempertingkat pengalaman di kedai, menggaji pakar runding untuk membantu mencantikkan persekitaran dan dalam kebanyakan kes menggaji lebih ramai pekerja ketika kemuncak musim perayaan. – AFP