Isu lalat, 13 buah syarikat didenda

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Dalam usaha untuk terus menangani isu infestasi lalat yang dilaporkan oleh orang awam khususnya di beberapa buah kampung di sekitar Mukim Pengkalan Batu, satu operasi pemantauan bersepadu telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama pihak Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 16 Mei lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, operasi pemantauan bersepadu itu, bertujuan untuk memastikan tahap kebersihan ladang-ladang pertanian sentiasa mengikut peraturan dan piawaian kebersihan yang telah ditetapkan khususnya ladang-ladang tanaman di beberapa buah Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Daerah Brunei dan Muara iaitu KKP Batumpu, KKP Si Bongkok, Kampung Parit, Masin dan KKP Si Bongkok, Kampung Batong.

Kenyataan menyatakan lagi hasil daripada pemantauan tersebut, sebanyak 13 buah syarikat telah dikenakan denda kompaun oleh pihak Jabatan Daerah Brunei dan Muara kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) antaranya pembuangan sisa-sisa ladang yang tidak teratur, meletakkan longgokan sampah bagi barang-barang domestik yang boleh diusahakan untuk dibuang ke tempat pembuangan sampah awam, membiarkan longgokan kereta atau jentera di kawasan ladang yang tidak lagi digunakan, persekitaran rumah pekerja yang tidak bersih dan sistem pembetungan saliran najis (sewage) yang tidak teratur.

Syarikat-syarikat tersebut ialah Syarikat Bidah Duraman dan Anak-anak, Syarikat Bunga Hati, Perusahaan Dyg Zaiton Hj Aman dan Anak-anak, Syarikat Widiyana Seputra Agricultural Farming, Syarikat H.K Amirah, Syarikat Shamir, Syarikat Perusahaan Hj Mohd Salleh Hj Ludin dan Anak-anak, Syarikat Mizu Enterprise dan Syarikat Iktisad Ibunda dengan masing-masing dikenakan denda kompaun berjumlah $200.

Manakala itu, Syarikat Umu Slamah Enterprise, Syarikat El-Kibal, Syarikat MSE Agriculture and Farming dan Celapa Enterprise telah masing-masing dikenakan denda kompaun berjumlah $500.

Semua syarikat berkenaan telah diarahkan untuk menjelaskan pembayaran denda kompaun berkenaan di Jabatan Daerah Brunei dan Muara dalam tempoh satu minggu daripada tarikh ia dikeluarkan dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan.

Jika gagal, jabatan berkenaan akan mengambil tindakan selanjutnya ke atas syarikat-syarikat tersebut.

KSSUP, melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta agensi-agensi yang berkenaan, khususnya melalui Jawatankuasa Pasukan Bertindak bagi Menangani Isu Kebersihan Ladang dan Pusat Penyembelihan, akan sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan ladang-ladang pertanian dan pusat penyembelihan sentiasa mengikut peraturan dan piawaian kebersihan yang telah ditetapkan.

Longgokan sampah domestik yang dibuang secara terbuka.
Persekitaran rumah pekerja yang tidak bersih dan selesa.