Isu obesiti dan diabetes tumpuan Majlis Ilmu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan Majlis Ilmu meneruskan lagi forum hari ini dengan tajuk Obes dan Diabetes yang diadakan di Masjid Setia Ali, Pekan Muara.

Hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Ahli panel forum termasuklah Pegawai Perubatan Unit NCD, Kementerian Kesihatan, Dr Pengiran Mohd Khairulhazman bin Pengiran Dato Paduka Haji Othman dan Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar manakala Haji Yusli bin Haji Ashli sebagai moderator forum.

Forum antara lain memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan, cara-cara mengelak penyakit dan menangani serta merawat penyakit diabetes dan obesiti.

Ia diungkayahkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, KHEU, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan KUPU SB di bawah Jawatankuasa Kerja Acara Sampingan Sambutan Majlis Ilmu 2020.

Ia turut diserikan dengan pameran di masjid tersebut. Forum seumpamanya juga akan diteruskan pada 30 Januari kelak, di Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bersama para jemputan dan orang ramai semasa menghadiri forum Majlis Ilmu.