Isu pelanggan restoran jadi khayal dipantau

SHAH ALAM, 21 Feb – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau isu pelanggan menjadi lemah dan khayal selepas menikmati hidangan di sebuah kedai makan di Teluk Intan, Perak seperti dilaporkan media semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menunggu laporan lanjut mengenai isu itu daripada pihak terlibat untuk diteliti terlebih dahulu memandangkan ia baharu dikesan.

“Saya baru dapat berita itu, saya yakin ini telah menjadi kes polis. Saya masih tunggu laporan lanjut maka saya belum boleh beri komen (mengenainya) namun KKM akan pantau perkara terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek ‘Embracing Community Healthcare Outreach (ECHO)’ anjuran Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan beberapa pelanggan mengalami simptom lemah dan khayal selepas menikmati hidangan di kedai makan tersebut pada Ahad lepas.

Berdasarkan daripada aduan yang dibuat pelanggan, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia melakukan satu operasi bersepadu ke atas premis terbabit pada Selasa menyebabkan tukang masak serta dua pembantunya warga Bangladesh ditahan kerana didapati positif dadah jenis opiat.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly menggalakkan lebih banyak universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta menganjurkan pelbagai program berkaitan kesihatan melibatkan komuniti, sejajar dengan usaha KKM menyantuni rakyat khususnya menerusi Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) yang akan dilaksana secara berperingkat mulai bulan depan.

Memuji pelancaran projek ECHO oleh MSU yang disifatkan berkait dengan program PeKa B40, beliau yakin penggemblengan tenaga antara kedua-dua pihak kelak dapat mengembangkan lagi usaha kerajaan untuk menyebarkan manfaat kesihatan kepada rakyat.

“MSU antara terasnya adalah penglibatan dengan komuniti dan saya perhatikan aktiviti pelajarnya (menerusi program ECHO) berkait dalam penjagaan kesihatan seperti mana yang kita sasar menerusi PeKa B40. – Bernama

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua kanan) melawat pameran selepas merasmikan Management And Science University (MSU) Embracing Community Healthcare Outreach (ECHO) Project di MSU kelmarin. 
Turut hadir Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (kanan). – Bernama