KUCHING, 28 Jun – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata isu ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ adalah antara yang dibincangkan pada mesyuarat kabinet negeri hari ini.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan sebagai persediaan untuk meminda Kanun Tanah Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.
“Ia mesyuarat kabinet biasa… kecuali kita akan membentangkan Kanun Tanah (negeri) mengenai domain wilayah pada persidangan DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Gawai anjuran Pejabat Ketua Menteri di bangunan DUN lama di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesyuarat jemaah menteri Sarawak pagi tadi.
Pada Disember 2016, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa tanah ‘pemakai menoa’ dan pulau galau’ adalah adat dan amalan namun tidak dimaktubkan dalam undang-undang, Abang Johari memberi jaminan kerajaan negeri akan terus mempertahankan tanah hak adat bumiputera (NCR) dan bersedia mendengar serta berunding dengan semua kaum bagi menyelesaikan isu berkenaan, dan seterusnya menubuhkan Jawatankuasa Pemakai Menoa dan Pulau Galau. Dalam penghakimannya, mahkamah Apex itu membenarkan rayuan kerajaan negeri Sarawak dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf tanah ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ sebagai tanah NCR di Sarawak.
Awal tahun ini, ketua menteri itu dilaporkan berkata kerajaan negeri bersedia meminda Kanun Tanah negeri bagi menyelesaikan isu tersebut namun beliau menegaskan definisi ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ yang berbeza dalam kalangan komuniti bumiputera di negeri itu harus diselesaikan dahulu. – Bernama

































