Isu pembangunan dua hala dibincangkan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI  BEGAWAN, 10 Julai – Negara Brunei Darussalam dan Singapura hari ini membincangkan isu-isu pembangunan dua hala pada sidang sampingan Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) yang berlangsung bermula 8 sehingga 12 Julai ini.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Pem-bangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar manakala Singapura diwakili oleh Menteri Pembangunan Negara, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli.

Hadir sama pada perbincangan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Air serta Jabatan Saliran dan Pembetungan.

Dalam perjumpaan dua hala bersama TYT Lawrence Wong, isu-isu perancangan guna tanah, perumahan awam dan perkara-perkara berkaitan dengan penggunaan tanah serta peluang mengadakan program-program pertukaran antara dua buah negara dalam masa terdekat dibincangkan.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi semasa membincangkan isu pembangunan dengan TYT Lawrence Wong.
Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bergambar ramai bersama Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura serta rombongan kedua-dua buah negara.

Kementerian Pembangunan Brunei dan Kementerian Pembangunan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada tahun 2015 untuk menggalakkan pertukaran maklumat dan kerjasama antara kedua-dua agensi kerajaan.

Manakala dalam perjumpaan dua hala bersama TYT Masagos Zulkifli, kedua-duanya membincangkan mengenai isu-isu alam sekitar dan kepentingan bersama serta mengemaskinikan kemajuan dalam bidang usaha sama seperti pemantauan kualiti udara, pengurusan sumber air dan pertukaran belia alam sekitar.

Di bawah rangka kerja MOU kerjasama dua hala dalam hal ehwal alam sekitar antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, mesyuarat dan pertukaran program alam sekitar merangkumi pengurusan sisa pepejal, kualiti udara, pengurusan sumber air dan pendidikan alam sekitar yang diadakan pada setiap tahun.

Perbincangan turut disertai pegawai-pegawai kanan kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Singapura dari kedua-dua kementerian terbabit.