Isu pembangunan fasiliti hospital, sekolah Sarawak dibangkitkan

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Aspek pembangunan kemudahan fasiliti hospital dan sekolah di Sarawak menjadi tumpuan ahli parlimen dari negeri itu dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Antara ahli parlimen dari Sarawak yang mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat dasar itu ialah Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) dan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang).

Ling berkata perkhidmatan dialisis di Hospital Sibu telah mencapai kapasiti maksimum serta memerlukan mesin osmosis berbalik bagi menyalurkan sumber air bersih untuk rawatan dialisis.

Oleh itu, beliau memohon agar peruntukan sebanyak RM230,000 disalurkan untuk kemudahan itu selain peruntukan RM100,000 bagi menambah ruang rawatan dialisis di hospital sama. Beliau turut mencadangkan kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM20 juta untuk menyediakan perkhidmatan radioterapi di Hospital Sibu memandangkan buat masa ini, perkhidmatan itu hanya terdapat di Kuching.

“Perkara ini amat penting, sudah lama kami menyeru dan memohon kementerian memberikan mesin radioterapi di Hospital Sibu, saya berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan sistem pembinaan modular diguna pakai sebagai penyelesaian lebih efektif bagi isu sekolah daif yang dilihat memerlukan peruntukan besar di kawasan pedalaman.

Memetik peruntukan RM350 juta bagi membaiki 37 sekolah daif di Sarawak, Ling berkata sebut harga Jabatan Kerja Raya itu perlu dikaji semula. – Bernama