Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Isu-isu yang mempunyai implikasi terhadap agenda pembinaan komuniti ekonomi di rantau ASEAN telah dibincangkan semasa Mesyuarat Sesi Sua Muka Menteri-menteri bagi Agenda Pembangunan Mampan di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang berlangsung secara dalam talian pada 9 November.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra selaku Ketua Pegawai Kanan Tenaga ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.
Dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Kemboja, Tuan Yang Terutama Pan Sorasak selaku Pengerusi Menteri-menteri Majlis AEC, mesyuarat dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil dari negara anggota ASEAN daripada empat badan sektor ASEAN iaitu Majlis AEC, Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN, Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN dan Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN.
Mesyuarat itu diadakan di samping atur cara Mesyuarat Majlis AEC ke-21 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja dengan objektif utama untuk meningkatkan usaha serantau dalam mewujudkan sinergi yang lebih kukuh di antara sektor-sektor di bawah AEC, khususnya sektor ekonomi, tenaga, pengangkutan serta pertanian dan perhutanan bagi memajukan agenda rantau ini mengenai dengan pembangunan ekonomi yang mampan.
Ia telah menekankan keperluan untuk terus membincangkan isu-isu yang mempunyai implikasi terhadap agenda pembinaan komuniti ekonomi di rantau ini, terutamanya dalam mempromosikan dan menyokong inisiatif ASEAN ke arah mencapai neutral karbon.
Keempat-empat badan sektoral ASEAN berkenaan juga telah bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan dan kerjasama rentas sektor yang lebih sistematik, berintegrasi dan bersepadu bagi memajukan kerja-kerja ke arah mencapai sasaran neutral karbon, melalui strategi dan pendekatan dalam mempromosikan pertumbuhan hijau.