Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu penghapusan sisa plastik yang berlebihan

    JENJAROM – Daripada bungkusan kotor yang melanda komuniti kecil di Asia Tenggara kepada sampah yang bertimbun di kilang dari AS ke Australia, pengharaman China untuk menerima plastik terpakai di dunia telah menjerumuskan proses kitar semula di dunia dalam keadaan kelam-kabut.

    Selama beberapa tahun, China menerima sebahagian besar sekerap plastik dari seluruh dunia, memproses sebahagian besarnya menjadi bahan lebih berkualiti yang boleh digunakan oleh pengeluar.

    Namun pada awal tahun 2018, ia menutup pintunya kepada hampir semua bahan buangan plastik asing, serta kebanyakan barang-barang lain yang boleh dikitar semula, dalam usaha untuk melindungi alam sekitar tempatan dan kualiti udara, menyebabkan negara maju bergelut untuk mencari tempat untuk menghantar barang buangan mereka. “Ia bagai gempa bumi,” beritahu Arnaud Brunet, ketua pengarah kumpulan industri yang berpangkalan di Biro Kitar Semula Antarabangsa Brussels, kepada AFP. “China ialah pasaran terbesar untuk barang kitar semula. Ia mewujudkan satu kejutan besar dalam pasaran global.”

    Sebaliknya, plastik sedang dialihkan dalam kuantiti yang besar ke Asia Tenggara, di mana syarikat kitar semula China telah berpindah beramai-ramai. Dengan sebilangan besar penduduk minoriti yang bertutur bahasa Cina, Malaysia merupakan pilihan utama untuk syarikat kitar semula China yang ingin berpindah, dan data rasmi menunjukkan import plastik bertambah tiga kali ganda daripada jumlah 2016 kepada 870,000 tan tahun lalu.

    Di bandar kecil Jenjarom, tidak jauh dari Kuala Lumpur, kilang pemprosesan plastik muncul secara mendadak dalam jumlah yang besar, mengeluarkan asap beracun siang dan malam. Timbunan buangan plastik, dibuang di tempat terbuka, berlonggok tatkala syarikat kitar semula bergelut untuk mengatasi kemasukan bungkusan daripada barangan harian, seperti makanan dan bahan cuci pakaian, dari kawasan yang jauh seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Brazil.

    Timbunan buangan plastik, dibuang di tempat terbuka, berlonggok tatkala syarikat kitar semula bergelut untuk mengatasi kemasukan bungkusan daripada barangan harian, seperti makanan dan bahan cuci pakaian. – AFP
    Pihak berkuasa mula menutup kilang haram di Jenjarom, dan mengumumkan pembekuan sementara ke atas permit import plastik. – AFP
    Antara sisa buangan dari produk yang diimport jauh seperti Jerman, Portugal dan sebagainya. – AFP

    Penduduk perasan bau busuk yang menusuk hidung di bandar – bau yang biasa biasa dihidu dalam pemprosesan plastik, tetapi pekempen alam sekitar percaya sesetengah asap juga datang daripada pembakaran bahan buangan plastik yang bermutu rendah untuk dikitar semula. “Orang diserang oleh asap toksik, terjaga daripada tidur pada malam. Ramai yang batuk-batuk dengan teruk,” beritahu penduduk tempatan, Pua Lay Peng, kepada AFP. “Saya tidak dapat tidur, saya tidak dapat rehat, saya sentiasa rasa keletihan,” tambah wanita berusia 47 tahun itu.

    Wasap beracun

    Pua dan ahli komuniti lain memulakan siasatan dan pada pertengahan tahun 2018 berjaya mengesan kira-kira 40 kilang pemprosesan, kebanyakannya nampak beroperasi secara rahsia dan tanpa permit sah. Aduan awal kepada pihak berkuasa tidak dihiraukan tetapi mereka menambah tekanan dan akhirnya kerajaan mengambil tindakan. Pihak berkuasa mula menutup kilang haram di Jenjarom, dan mengumumkan pembekuan sementara ke atas permit import plastik.

    Tiga puluh tiga kilang ditutup, walaupun aktivis percaya banyak yang telah berpindah ke tempat lain dalam negara. Penduduk berkata kualiti udara telah bertambah baik tetapi beberapa tempat buangan plastik masih wujud.

    Di Australia, Eropah dan AS, kebanyakan mereka yang mengumpul plastik dan barang-barang lain yang boleh di kitar semula berlumba-lumba untuk mencari tempat baharu untuk menghantarnya.

    Mereka menghadapi kos yang lebih tinggi untuk diproses oleh syarikat kitar semula dan dalam beberapa kes terpaksa mengambil jalan untuk menghantarnya ke tapak pelupusan sampah memandangkan sekerap telah bertimbun dengan cepat. “Dua belas bulan berikutnya, kami masih terasa kesan tetapi kami masih belum mencari penyelesaiannya,” kata Garth Lamb, presiden badan industri Persatuan Pengurusan Bahan Buangan dan Pemulihan Sumber Australia.

    Sesetengah pihak dapat menyesuaikan diri dengan cepat kepada alam sekitar baharu, seperti beberapa pusat yang di kendali oleh pihak berkuasa tempatan yang mengumpul barang-barang yang boleh di kitar semula di Adelaide, selatan Australia. Pusat itu biasa menghantar hampir kesemua barang, daripada plastik kepada kertas kepada kaca, ke China tetapi sekarang 80 peratus adalah diproses oleh syarikat tempatan, dengan kebanyakan barang lain dihantar ke India.

    “Kami bertindak dengan cepat dan melihat kepada pasaran domestik,” beritahu Adam Faulkner, ketua eksekutif Pihak Berkuasa Pengurusan Bahan Buangan Adelaide Utara, kepada AFP.

    “Kami mendapati dengan menyokong pengeluar tempatan, kami mampu kembali kepada harga yang diharamkan oleh China sebelum ini,” tambah beliau.

    Kurang digunakan, kurang dihasilkan

    Di China, import bahan buangan plastik telah merosot daripada 600,000 tan sebulan pada tahun 2016 kepada kira-kira 30,000 sebulan pada 2018, menurut data yang dipetik oleh satu laporan baharu daripada Greenpeace dan kumpulan alam sekitar NGO Perikatan Global untuk Pembakar Alternatif. Pernah satu ketika menjadi pusat kitar semula yang sibuk, ia kini telah ditinggalkan tatkala firma berpindah ke Asia Tenggara.

    Pada satu lawatan ke selatan bandar Xingtan pada tahun lalu, Chen Liwen, pengasas alam sekitar NGO Perikatan China bagi Bahan Buangan Sifar, mendapati industri kitar semula yang melambung pada satu ketika dulu telah pun lenyap sekarang.

    “Syarikat kitar semula plastik telah hilang – terdapat tanda-tanda “untuk disewa” yang terpampang di pintu kilang malah tanda rekrutmen yang meminta syarikat kitar semula yang berpengalaman supaya berpindah ke Vietnam,” beritahunya kepada AFP.

    Negara Asia Tenggara yang terjejas awal oleh pengharaman China – serta Malaysia, Thailand dan Vietnam semuanya terjejas teruk – telah mengambil langkah-langkah untuk mengehadkan import plastik, namun bahan buangan hanya dialih semula ke negara lain tanpa sekatan, seperti Indonesia dan Turki, menurut laporan Greenpeace.

    Dengan hanya sembilan peratus plastik dihasilkan menerusi proses kitar semula, pekempen berkata satu-satunya penyelesaian jangka panjang terhadap krisis bahan buangan plastik adalah untuk syarikat menghasilkan kurang barangan dan pengguna kurang menggunakan barangan.

    Pekempen Greenpeace Kate Lin berkata: “Satu-satunya penyelesiaan kepada pencemaran plastik adalah menghasilkan jumlah plastik yang kurang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda