Tuesday, August 9, 2022
22.7 C
Brunei

Isu perumahan bagai tiada kesudahan

-

Perkara yang saya ingin bangkitkan ini bukanlah suatu perkara baharu namun masih menjadi isu dan tiada sebarang penyelesaian sehingga kini.

Sebut saja tentang perumahan pasti timbul kes mengenai permohonan yang tiada khabar berita sehingga membuat para pemohon menunggu bertahun-tahun. Jika dirujuk kepada pihak relevan, hanya jawapan yang sama seperti proses permohonan memakan masa lama yang sering diberikan kepada sesiapa yang membuat aduan.

Sampai bila kami perlu menunggu? Apa sebenarnya proses permohonan ini memerlukan masa yang lama? Hakikatnya kami sebagai pemohon ada yang terpaksa menunggu sehingga berbelasan tahun dan malah ada yang tidak kesampaian.

Jika dilihat di kawasan-kawasan perumahan terdapat rumah-rumah yang kosong belum ada penghuni dan dibiarkan begitu sahaja seperti menyediakan ‘tempat tinggal jin’. Mungkin rumah-rumah berkenaan sudah dimiliki tetapi penghuni tidak mendiaminya. Adakah perlu pihak relevan untuk membuat sebarang tindakan dan memberikan kepada mereka yang lebih memerlukan?

Namun berkemungkinan rumah-rumah yang diberikan itu sudah tidak selamat untuk didiami kerana sudah berlaku kerosakan sebelum didiami. Ini kerana sesetengah orang membuat aduan rumah yang diberikan kepada mereka sudah mengalami kerosakan seperti dinding retak, atap bocor dan sebagainya. Justeru siapa perlu dipersalahkan? Satu perkara lagi, ada yang sudah diberikan perumahan namun disewakan kepada pihak yang lain, bukankah ia suatu kesalahan? Tidakkah pihak relevan boleh membuat sebarang tindakan dengan perkara ini?

Sampai bilakah permasalahan ini akan dapat diatasi? Pihak relevan perlu memikirkan perkara ini demi kemaslahatan rakyat kerana tidak semua yang mampu untuk mendapatkan rumah dan dengan hanya cara permohonan perumahan ini dapat membantu merealisasikan impian kami memiliki kediaman sendiri.

Pemohon

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -