Isu reformasi pencen belum berakhir

PARIS, 8 DIS – Pengangkutan awam di Perancis lumpuh buat hari keempat hari ini ketika kerajaan bersiap sedia untuk memberi respons kepada kemarahan berhubung reformasi pencen yang membawa ratusan ribu penduduk ke jalan-jalan raya ketika para pekerja memulakan bantahan terbuka.

Presiden Emmanuel Macron, Perdana Menteri Edouard Philippe dan menteri-menteri kanan kabinet dijadualkan akan mengadakan ‘mesyuarat kerja’ lewat hari ini untuk membincangkan projek kerajaan yang kesatuan buruh berkuasa di negara itu dakwa akan memaksa ramai orang bekerja lebih lama bagi bayaran persaraan yang kecil.

Mogok itu yang bermula Khamis lalu berhubung rancangan bagi skim tunggal berdasarkan poin, mengimbas semula peristiwa musim sejuk 1995, apabila tiga minggu pemogokan memaksa kajian semula dasar sosial oleh kerajaan waktu itu.

Langkah Macron untuk memodenkan sistem persaraan Perancis adalah sebahagian daripada jaminan pilihan raya untuk meletakkan negara atas tapak kewangan kukuh – satu misi yang menggesa perubahan menyakitkan dalam sebuah negara yang ramai orang menyaksikan kuasa perbelanjaan mereka menurun.

Bantahan buruh terbesar dalam beberapa tahun muncul ketika ekonomi Perancis sudah pun terjejas oleh lebih setahun bantahan antikerajaan mingguan oleh aktivis ‘ves kuning’ dengan kepopularan Macron merosot.

Mogok besar-besaran itu telah menutup sekolah-sekolah pada Khamis dan menjejaskan komuter di Paris serta sub bandarnya dan bandar-bandar besar lain pada hujung minggu.

Ramai yang memilih untuk mengambil cuti dan bekerja dari rumah namun ribuan yang lain tidak mempunyai pilihan terpaksa meredah kereta api sub bandar dan metro yang bilangannya dikurangkan kepada minimum.

Kereta api serantau dan antarabangsa, termasuk Thalys dan Eurostar juga terjejas teruk dan banyak penerbangan dibatalkan pada hari pertama mogok. – AFP

Pegawai polis anti-rusuhan ketika bertindak terhadap para pembantah semasa tunjuk perasaan ke atas pengangguran dan hal berkaitan di Nantes, barat Perancis pada 7 Disember. – AFP