Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isu ‘rompak’ wang tuntutan GST hangat diperdebatkan

    KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Minggu keempat persidangan Dewan Rakyat digemparkan oleh pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai ‘rompakan’ wang tuntutan cukai input bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion.

    Beliau mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 bilion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu, namun baki sedia ada dalam tabung bayaran balik hanya sekitar RM1.49 bilion.

    Isu itu dibangkitkan Lim ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 yang akhirnya menyaksikan persidangan tersebut meluluskan pemansuhan sistem percukaian yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

    Dewan Rakyat turut meluluskan beberapa RUU bagi memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) iaitu Cukai Jualan 2018; Cukai Perkhidmatan 2018; Kastam (Pindaan) 2018 dan Zon Bebas (Pindaan) 2018.

    Selain itu, persidangan juga meluluskan usul pelantikan Anggota Parlimen Beluran daripada BN Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekali gus mencipta sejarah baharu negara apabila anggota Parlimen pembangkang dilantik mengetuai jawatankuasa tersebut.

    Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang media sebaik keluar dari Dewan Rakyat di Parlimen, kelmarin. – Bernama

    Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh daripada DAP pula dilantik Timbalan Pengerusi PAC bagi Parlimen ke-14.

    Persidangan minggu ini juga dicemari dengan kata-kata kesat, berbaur lucah dan ‘unparliamentary’ oleh Yang Berhormat ketika sesi perbahasan, menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof terpaksa mengeluarkan amaran tegas agar semua menjaga tingkah laku atau berdepan tindakan keras termasuk diarah keluar dewan.

    Dalam insiden pada Selasa, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengeluarkan ungkapan kesat kerana tidak berpuas hati dengan pertanyaan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo).

    Bung Moktar yang bangkit mencelah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) ketika perbahasan RUU Cukai Jualan 2018 mendakwa harga barangan di Pasar Borong Selayang lebih murah sewaktu dikenakan GST sebelum diganggu Mongin yang bertanya ‘bukan kasino ke?’.

    Selain itu, mesyuarat minggu ini juga menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membentangkan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 ekoran

    perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada.

    RUU itu dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan pada persidangan yang diadakan minggu depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda