Isu sampah: Duta Filipina diminta pulang

MANILA, Filipina, 16 Mei – Filipina memanggil pulang duta dan konsulnya di Kanada atas kegagalan Ottawa untuk mematuhi tarikh akhir untuk mengambil semula kontena sampah yang dikatakan pegawai Filipina secara haram telah dihantar ke Filipina tahun lalu, kata pegawai semalam.

Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr. menulis bahawa Filipina ‘mengekalkan delegasi kecil diplomatik di Kanada sehingga isu sampah berkenaan selesai.’

Langkah drastik itu merupakan tekanan terbaharu dalam hubungan Filipina dengan Kanada di bawah Presiden Rodrigo Duterte.

Duterte bulan lepas mengancam menghantar bekas sampah secara paksa ke Kanada dan meletakkan sebahagiannya di kedutaannya di Manila jika pegawai Kanada tidak mengambil balik sisa itu. Pegawai Filipina kemudian menetapkan tarikh akhir 15 Mei untuk Kanada melakukannya.

Locsin berkata dalam tweetnya bahawa surat-surat untuk penarikan semula duta besar dan konsul Filipina di Kanada telah dihantar dan mereka dijangka kembali ke Manila selepas kira-kira sehari.

“Penarikan semula itu menunjukkan bahawa kami sangat serius dalam meminta mereka untuk mengambil balik sampah mereka, jika tidak, kami tidak akan bertoleransi dalam menjalinkan hubungan dengan mereka,” jurucakap presiden, Salvador Panelo memberitahu sidang akhbar. – AP

Gambar fail pada 9 September 2015 menunjukkan aktivis alam sekitar mengadakan perhimpunan di luar Senat Filipina di Manila bagi menuntut Kanada untuk mengambil semula sampah yang dipenuhi dengan sisa isi rumah. – AFP