Isu sosial kalangan belia perlu perhatian

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 13 SEPT – Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Mukim Kiudang, Daerah Tutong telah mengadakan forum sempena Awal Tahun 1442 Hijrah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama mendengarkan forum bertajuk ‘Punca Isu Sosial Kalangan Belia dan Cara Mengatasinya’ itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Forum dipengerusikan oleh Ketua Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Haji Khairulizam bin Haji Jefrey dan ahli-ahli panelnya terdiri daripada Penolong Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit dan Ketua Unit Belia Masjid Kampung Junjongan, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.

Forum yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, bertujuan untuk memperingati Awal Tahun Baharu Hijrah 1442 selain untuk memberikan kesan penghijrahan melalui forum dan memberi peluang kepada belia dan beliawanis masjid berkumpul serta beramah mesra bersama pemimpin.

Di samping itu, ia juga untuk mengajak belia dan beliawanis masjid bagi sama-sama mendengar kesan bahaya gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah seterusnya memberi peluang para ibu bapa bagi sama-sama mendengar dan memantau kegiatan anak-anak mereka.

Acara berkenaan juga dihasratkan untuk memberi kesedaran kepada peserta dan yang hadir akan bahayanya penyalahgunaan dadah sekali gus mendidik peserta agar sentiasa mengikuti aktiviti yang sihat dan berfaedah.

Program seumpamanya juga akan dilaratkan ke daerah lain mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Haji Mohd Serudin bersama tetamu lainnya ketika hadir mendengarkan forum tersebut.