LUCCA, Itali, 11 April – Syria dijangka menguasai mesyuarat menteri-menteri luar G7 di Itali hari ini, dengan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson menjadi tumpuan sebelum beliau berkunjung ke Moscow, sekutu utama Presiden Bashar al-Assad.
Washington telah mengingatkan Damsyek bahawa penggunaan senjata kimia seterusnya mungkin membawa tindakan balas tentera AS baru, ekoran serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera udara Syria.
Amerika Syarikat pada Jumaat menembak 59 peluru berpandu Tomahawk di pangkalan tentera udara Shayrat berhampiran Homs, yang dikatakan oleh Pentagon telah digunakan oleh jet Assad untuk melancarkan serangan kimia ke aras wilayah Idlib yang membunuh sekurang-kurangnya 87 orang awam.
Serangan peluru berpandu Washington adalah yang pertama kali ia campur tangan secara langsung terhadap rejim Assad, yang sedang bertempur satu perang saudara dengan sokongan Rusia dan Iran.
Menteri Luar Itali Angelino Alfano, yang menganjurkan rundingan Kumpulan Tujuh di Lucca, akan mengadakan satu mesyuarat khas mengenai Syria pada hari ini, yang juga termasuk Turki, UAE, Arab Saudi, Jordan dan Qatar.

Media Itali berkata tujuannya adalah untuk ‘mengelak tindakan tentera berbahaya’. Alfano telahpun bercakap menerusi telefon dengan rakan sejawatan Iran, meminta beliau supaya menggunakan pengaruhnya ke atas rejim Syria untuk mengelak serangan lanjut ke atas orang awam.
Menteri G7 berkata semalam mereka berhasrat menghantar mesej jelas kepada Moscow, di mana Tillerson dijangka mengadakan rundingan dengan rakan sejawatan Rusia Sergei Lavroy.
Pada awal perhimpunan, Setiausaha Luar Britain Boris Johnson menggambarkan Assad sebagai toksik dan berkata sudah tiba masanya untuk Presiden Rusia Vladimir Putin menghadapi kebenaran mengenai pencalim yang disokong oleh beliau. – AFP