Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Jabatan Kemajuan Perumahan telah memberikan penjelasan mengenai isu tular bagi senarai pemohon rancangan perumahan negara di mana senarai nama berkenaan sebelumnya pernah dimuat naik ke laman sesawang jabatan itu bagi tujuan Kemas kini Data Pemohon Skim Perumahan Negara (KSPN) pada April 2017.
Walau bagaimanapun, jabatan itu hari ini menjelaskan bahawa apa yang telah ditularkan baru-baru ini, mengenai peruntukan perumahan bagi pemohon-pemohon berkenaan di kawasan-kawasan RPN Kampung Lugu dan RPN Kampung Rimba adalah tidak sahih.
Oleh itu, jabatan berkenaan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dan menularkan sebarang maklumat yang disebarkan melalui internet atau media sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Untuk makluman orang ramai, bagi memastikan kesahihan sebarang maklumat yang berkaitan dengan Jabatan Kemajuan Perumahan, mereka boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Perhubungan Awam, Jabatan Kemajuan Perumahan melalui e-mel, info@hdd.gov.bn atau melayari laman sesawang rasmi Jabatan Kemajuan Perumahan, www.housing.gov.bn.