Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Isu Ukraine-Rusia perlu penyelesaian damai

    PHNOM PENH, 24 FEB – Malaysia dan Kemboja berpandangan isu Ukraine dan Rusia perlukan dialog untuk mencari penyelesaian damai bagi kedua-dua negara berjiran itu, kata Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen.

    “Walaupun kita jauh dan kita adalah negara kecil, tetapi isu antarabangsa seperti ini adalah sangat penting. Pemimpin sentiasa mempunyai perbincangan satu sama lain.

    “Saya dan juga Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga membincangkan isu ini apa yang kita ingin lihat adalah penyelesaian damai,” katanya dalam sidang media bersama Ismail Sabri sempena lawatan perdana menteri Malaysia itu ke negara berkenaan.

    Hun Sen berkata demikian apabila ditanya sama ada mereka ada berbincang mengenai isu Ukraine dan Rusia semasa pertemuan empat mata hari ini.

    Ditanya pendapat Kemboja selaku Pengerusi ASEAN berkenaan isu Ukraine dan Rusia itu, Hun Sen berkata ASEAN belum ada konsensus mengenai perkara berkenaan.

    “Saya dan Perdana Menteri Malaysia berpendapat bahawa ASEAN memerlukan satu suara (supaya suara itu) menjadi kuat. Oleh itu sebarang kenyataan perlu mendapat konsensus ASEAN termasuk dalam isu Ukraine,” katanya.

    Menurut laporan media antarabangsa, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy hari ini telah mengisytihar darurat di seluruh negara ketika tentera Rusia memasuki sempadannya dan menyerang sasaran di Kyiv, dengan letupan kedengaran di banyak bandar Ukraine.

    Secara berasingan, Singapura mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk pencerobohan tanpa provokasi ke atas negara berdaulat atas apa jua alasan, menurut kenyataan Kementerian Luar berhubung situasi terkini di Ukraine.

    “Singapura khuatir dengan pengumuman Rusia berhubung “operasi ketenteraan khas” di wilayah Donbas; dan laporan mengenai serangan darat dan udara di Ukraine pada 24 Feb,” kata jurucakap kementerian itu hari ini.

    Republik itu mengulangi bahawa kedaulatan, kemerdekaan, dan integriti wilayah Ukraine harus dihormati. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...