Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Sekolah agama dan sistemnya perlu dikemaskan serta pelajarannya hendaklah disesuaikan mata pelajaran selaku sekolah rendah.
Selain itu, tidak ada sebarang tujuan untuk menghapuskan sekolah agama kerana ia merupakan rangkaian daripada MIB dan salah satu jati diri negara yang kita banggakan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan perkara itu semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kelmarin.
“Ia mestilah dikaji, ditimbang dan dihalusi secara profesional, dan bukan asal ada atau dibuat secara rambang. Inilah yang Beta mahu lihat berlaku sebagai satu perubahan ke hadapan dan perkembangan yang sempurna, bukankah ini juga namanya integrasi?,” tegas Baginda.
Baginda seterusnya bertitah, Pengintegrasian Pelajaran Agama ke dalam Sistem Pendidikan Umum bagi penuntut-penuntut di peringkat Pra hingga Darjah 3 di sekolah agama adalah semata-mata bertujuan baik untuk penyesuaian supaya tidak terlalu membebankan atau memberatkan kepada penuntut.
“Kerana jika terus-menerus membebankan atau memberatkan, perkara itu dikhuatiri boleh membawa kepada gangguan emosi atau mental dan bukan dimaksudkan pelajaran agama merosakkan mental,” tegas Baginda lagi.
Dengan langkah tersebut, titah Baginda, tidak bererti kita menutup pintu untuk menilai dari semasa ke semasa akan kesesuaiannya, malah kerajaan Baginda akan terus-menerus memerhatikan perjalanan atau pelaksanaan sistem ini.
Ke arah itu, Baginda telah mengamanahkan KHEU dan Kementerian Pendidikan untuk sama-sama memantau dan membuat penilaian saksama mengenainya.
Baginda seterusnya menyentuh mengenai urus tadbir zakat, yang mana Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat (BAKAZ), Jabatan Majlis Ugama Islam telah pun dinaik taraf menjadi sebuah jabatan yang dinamakan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal pada Julai yang lepas.
Dalam titah Baginda menegaskan, sepatutnya setelah menjadi sebuah jabatan, urus tadbir mengenai zakat akan berjalan lebih lancar dan teratur, terutama di BAKAZ.
Semasa mengurniakan titah, Baginda ingin tahu berapakah jumlah kutipan zakat setakat ini dan berapa yang telah diagihkan kepada asnaf-asnaf yang berhak serta bagaimana cara pengagihan dilaksanakan.
“Adakah semata-mata menunggu pemohon untuk memohon? Atau ada juga usaha proaktif untuk memantau atau mencari sendiri ahli-ahli asnaf yang berhak menerima zakat,” tegas Baginda.
Menyentuh mengenai permohonan asnaf fakir miskin, tegas Baginda, ada yang menunggu jawapan sangat lama sedangkan mereka memerlukan dengan segera.
“Ini sama juga asnaf yang lain seperti Al-Gharimin, ada yang menunggu sampai berbulan atau ‘mengandat’ tahun untuk mendapat jawapan sama ada diluluskan permohonan ataupun tidak.”
Baginda menekankan isu menunggu lama tidak sepatutnya berbangkit jika dalam tangan sudah sedia ada panduan yang menggariskan kategori-kategori mereka yang berhak atau tidak berhak sebagai penerima.
“Jika ini sudah ada, rasanya tidak lagi berbangkit pemohon menunggu lama-lama atau mesti berulang-alik ke pejabat untuk bertanyakan permohonan mereka.”
Menyentuh mengenai langkah proaktif untuk memantau atau mencari orang-orang
yang berhak menerima zakat adalah suatu perkara yang munasabah, memandangkan terdapatnya orang-orang yang mungkin berhalangan untuk tampil memohon.
“Ini kerana sebab-sebab tertentu seperti warga emas yang tidak berupaya untuk memohon, golongan yang tidak tahu bagaimana untuk memohon, golongan yang tidak tahu adanya Baitulmal tempat memohon, golongan yang tidak ada kemudahan untuk memohon, golongan yang gagal mendapatkan pertolongan daripada ketua kampung untuk memohon,” titah Baginda.
Titah Baginda lagi, “Kata kita, ketua kampung boleh menunggu, betul tetapi ada juga berlaku ketua kampung tidak peduli atau ada anak buah kampung yang memohonkan pertolongan daripada ketua kampung, tetapi ketua kampung mencipta-cipta alasan tidak dapat menolong atau terus-terus sahaja memutuskan bahawa anak buah yang memohon itu tidak layak untuk memohon.
“Ini biasa berlaku, bukan tidak berlaku. Adakah perkara seperti ini pernah turut didengar atau diketahui oleh pihak pengelola zakat dan jika pernah, inilah alasan makanya pihak berkenaan itu perlu bergerak untuk memantau atau mencari sendiri orang-orang yang berhak menerima zakat khasnya di ceruk-ceruk terpencil pedalaman dan seumpamanya.”
Di samping itu, tegas Baginda, pihak berkenaan iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga perlu mengambil tahu akan tatacara ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu mukim menjalankan tugas untuk kebajikan anak buah kampung masing-masing.
“Jangan sampai ada ketua hanya nama ketua sahaja tanpa menyumbang khidmat kepada anak buah masing-masing,” tekannya.
Baginda bertitah lagi menegaskan, mengadakan jawatan ketua ialah untuk jadi ‘indung’ kepada rakyat dan penduduk setiap kampung dan bukannya untuk jadi tuan yang tidak bersedia untuk menggalas tugas dan tanggungjawab.
“Selaku ‘indung’ atau ketua, bukanlah tahan-tahan menunggu sahaja tetapi perlu proaktif untuk mengetahui sendiri kesusahan-kesusahan para anak buah kampung, dan inilah namanya amanah untuk ditunaikan, bukan diabaikan,” tegas Baginda.
Keberangkatan lawatan tidak berjadual Baginda ini, jelas memperlihatkan kepriha-tinan Baginda terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat Baginda.