FILEM seram, It keluaran Warner Bros dan New Line kembali mendominasi carta Box Office dengan kutipan setinggi AS$60 juta setelah ditayangkan di 4,103 pawagam. Dengan jumlah tersebut secara tidak langsung menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya dikumpul oleh filem itu adalah AS$218.7 juta.
Jumlah kutipan tersebut telah menjadikan ia sebagai filem yang mendapat kutipan tertinggi bagi tayangan bulan September sekali gus berjaya mengatasi rekod yang dipegang oleh Crocodile Dundee yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$174.8 juta ketika ia ditayangkan pada bulan September di tahun 1986.
Di samping itu, sebanyak AS$371.3 juta pula dapat dikumpulkan hasil tayangan daripada 56 buah pasaran dunia.
Setentunya keuntungan yang berlipat ganda hasil pelaburan sebanyak AS$35 juta itu akan memberikan keceriaan kepada para pelakon yang menjayakannya seperti Bill Skarsgard, Jeremy Ray Taylor, Sophia Lillis, Finn Wolfhard, Wyatt Oleff, Chosen Jacobs, Jack Dylan Grazer, Nicholas Hamilton, Jaeden Lieberher dan Jackson Robert Scott.
Kehadiran filem American Assasin keluaran CBS Films dan Lionsgate nyata gagal untuk menandingi aura filem It apabila ia hanya berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$14.8 juta setelah ditayangkan di 3,154 pawagam sekali gus menduduki tangga kedua dalam carta.



Sebanyak 55 peratus daripada penonton yang memilih filem tersebut adalah lelaki dan 29 peratus daripadanya adalah terdiri daripada golongan yang berusia 35 tahun ke bawah.
Filem tersebut merupakan karya adaptasi daripada novel karya Vince Flynn yang dikeluarkan pada tahun 2010.
Ia mengisahkan mengenai seorang ejen perisik lakonan Dylan O’Brien yang mendapat latihan daripada seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat sewaktu peristiwa Perang Dingin lakonan Michael Keaton
“Kami merasakan bahawa America Assasin telah berjaya menonjolkan prestasi yang agak baik dan ia jelas masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa filem ini akan diteruskan untuk menjadi sebuah francais,” jelas Pengurus Jualan Umum dan Pengedar Domestik Lionsgate, Shaun Barber.


Sementara itu, Mother yang dibintangi oleh Jennifer Lawrence pula berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$7.5 juta setelah ditayangkan di 2,368 pawagam sekali gus menduduki tangga ketiga dalam carta.
Seramai 56 peratus yang memilih untuk menonton filem arahan Darrn Aronofsky itu adalah wanita dan 52 peratus daripadanya pula terdiri daripada golongan yang berusia 35 tahun ke atas.
Manakala Home Again yang baru ditayangkan pada minggu lalu pula jatuh dua anak tangga ke tangga keempat setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$5.3 juta hasil tayangan dari 3,036 pawagam sekaligus menjadikan kutipan keseluruhan yang diperoleh tayangan filem komedi itu adalah AS$17.1 juta.
The Hitman’s Bodyguard pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$3.6 juta hasil tayangan dari 3,272 pawagam sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya dikumpulkan oleh filem itu adalah AS$70.4 juta.
Kutipan yang diperoleh hasil dari tayangan filem It secara tidak langsung seolah-olah berjaya kembali menghangatkan suasana di pawagam. Malah ia juga menyelamatkan keadaan sewaktu jualan tiket agak merudum pada Ogos lalu.