Itali benarkan kemasukan pelancong Eropah

ROM, 3 JUN – Itali kembali menerima kedatangan pelancong mulai hari ini, selepas tiga bulan dikenakan perintah lockdown akibat penularan COVID-19.

Di Venice, gondola sudah bersedia menerima kehadiran pengunjung, begitu juga balkoni ‘Romeo and Juliet’ di Verona dan Colosseum, di sini.

Bagaimanapun, timbulnya kebimbangan tatkala negara ini masih berusaha pulih selepas terjejas teruk akibat wabak berkenaan.

Itali menjadi negara Eropah pertama yang terjejas teruk akibat COVID-19 sehingga ia menyebabkan lebih 33,000 kematian.

Pada awal Mac, kerajaan melaksanakan perintah lockdown dan ia kemudian menyaksikan kes jangkitan menurun secara drastik.

Penumpang memakai penutup mulut dan hidung untuk mengekang penularan COVID-19 ketika mereka berkumpul di Stesen Kereta Api Milan, Itali kelmarin. – AP

Bagaimanapun, kegawatan ekonomi dihadapi ketika ini yang terburuk sejak Perang Dunia Kedua memaksa negara itu kembali membuka pintunya kepada warga asing.

Penerbangan antarabangsa dijangka kembali beroperasi menerusi tiga bandar utamanya, Milan, Rom dan Naples.

Dalam pada itu, Switzerland memberi amaran kepada penduduknya bahawa mereka perlu menjalani perintah tertentu, jika kembali bercuti dari Itali.

Negara terbabit akan membuka sempadannya dengan Jerman, Perancis dan Austria pada 13 Jun, tetapi tidak kepada Itali.

Itali pula menyatakan pengunjung dari negara Eropah tidak perlu menjalani kuarantin, tetapi perlu berbuat demikian jika mereka tiba dari benua lain. – AFP