Itali catat penurunan kes kritikal kali pertama

ROM, 5 APRIL – Itali, antara negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 menarik sedikit nafas lega apabila angka bagi kes rawatan rapi menurun buat kali pertama.

Ketua Badan Perlindungan Awam Negara, Angelo Borrelli, menjelaskan angka yang menurun daripada 4,068 pada Jumaat lalu kepada 3,994 semalam adalah detik yang berharga dalam usaha melawan penyebaran COVID-19.

“Ini adalah data yang sangat penting kerana angka itu menurun buat kali pertama dan satu usaha untuk melihat pihak hospital kembali ‘bernafas’ semula,” katanya. Borrelli tidak mahu memberi harapan palsu kepada penduduknya dan menyatakan jumlah yang sudah meninggal dunia, namun semalam, beliau menjelaskan jumlah angka meningkat daripada 681 kepada 15,362, iaitu secara rasmi paling tinggi di antara negara lain.

“Jumlah itu meningkat dengan ketaranya. Saya ingin mengingatkan kepada kamu pada 27 Mac lalu, kita mempunyai angka kematian hampir 1,000 orang,” katanya.

Ketua Majlis Saintifik Kerajaan, Franco Locatelli, berkata angka pesakit kritikal yang menurun adalah isyarat kuat namun tidak boleh menganggap bahawa kita sudah melepasi tempoh kritikal.

“Ini menunjukkan bahawa langkah yang diambil berjaya,” katanya. – AFP

Sebuah kereta polis Carabinieri meronda jalan pusat membeli-belah Via dei Condotti yang lengang di tengah Rom semasa perintah berkurung untuk membendung penyebaran COVID-19. – AFP