Itali catat pertumbuhan ekonomi sifar

ROM, 1 April – Itali dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi sifar pada tahun 2019, kata Menteri Ekonomi Giovanni Tria semalam, sementara mengenepikan perubahan dalam belanjawan kerajaan.

“Kami menghadapi kemelesetan meluas dalam pertumbuhan di seluruh Eropah dan di Itali kami menjangka mencatat pertumbuhan ‘sifar’,” beritahu Tria kepada forum ekonomi di Florence.

Bank pusat Itali dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah menganggarkan bahawa ekonomi ketiga besar zon euro akan berkembang sebanyak 0.6 peratus pada tahun ini, manakala Suruhanjaya Eropah bersikap lebih pesimistik, mencatat pertumbuhan sebanyak 0.2 peratus sahaja.

Pada suku keempat 2018, ekonomi Itali mengecut disebabkan kelembapan dalam eksport, terjerumus dalam kemelesetan teknikal dan menambah masalah belanjawan kerajaan.

Meskipun tekanan daripada pegawai Kesatuan Eropah (EU) untuk mengekalkan disiplin fiskal, Tria berkata: “Tidak ada sesiapa yang meminta kami untuk tindakan pembetulan, maka saya tidak memasukkannya.”

EU mengingatkan pada minggu lalu tentang satu perbalahan baharu dengan Itali berhubung belanjawannya, beberapa bulan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mencapai perjanjian berhubung kewangan 2019 Rom.

Hutang awam Itali kini berjumlah 2.3 trilion euro, atau 131 peratus daripada KDNK Itali, jauh melebihi had maksimum EU sebanyak 60 peratus. – AFP

Tria berucap pada satu sesi semasa Forum Boao bagi persidangan tahunan Asia di Boao, wilayah Hainan pada 27 Mac lalu. Itali dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi sifar pada tahun 2019, menurut Tria. – Xinhua