ROM, 25 Okt – Pihak berkuasa persaingan Itali berkata semalam ia mendenda Apple dan Samsung masing-masing dengan 10 dan lima juta euro kerana ‘keusangan dirancang’ dalam telefon pintar mereka.
Keputusan itu dipercayai merupakan yang pertama ke atas pengeluar itu ekoran tuduhan di seluruh dunia mengatakan mereka menggalak pengemaskinian sistem operasi untuk model telefon lamanya yang menyebabkan ia menjadi perlahan, sekali gus menggalak pembelian telefon baharu.
Dua ‘siasatan kompleks’ oleh pihak berkuasa anti pecah amanah AGCM mendedahkan Apple dan Samsung melaksanakan amalan komersial yang tidak adil, kata kenyataan itu.
“Kedua-dua syarikat telah memujuk pengguna supaya memasang pengemaskinian perisian yang tidak disokong oleh peranti mereka, tanpa menghubungi mereka, ataupun memberikan mereka cara efektif untuk mendapatkan semula fungsi penuh peranti mereka,” kata AGCM.
“Pengemaskinian sistem operasi menimbulkan kerosakan serius dan mengurangkan prestasi mereka, dalam cara ini mempercepat penggantian dengan produk terbaharu.”
Samsung ‘mencadangkan’ kepada pemilik telefon Note 4 2014 supaya memasang versi baharu sistem operasi Android Google yang dikhaskan untuk Note 7, kata ACGM.
Namun ia ‘tidak memberitahu mereka tentang kerosakan serius yang dicetuskan oleh firma baharu disebabkan tekanan lebih besar ke atas perkakasan peranti dan kos pembaik pulih yang tinggi di luar waranti berhubung dengan kerosakan sedemikian’.
Begitu juga, Apple ‘mencadangkan’ kepada pemilik iPhone 6 supaya memasang sistem operasi yang dikhaskan untuk iPhone 7, ‘tanpa mengingatkan pengguna bahawa pemasangannya mungkin mengurangkan kelajuan fungsi peranti’.
Samsung berkata ia akan merayu denda berkenaan, kerana syarikat itu ‘tidak mengeluarkan sebarang pengemaskinian perisian yang mengurangkan prestasi Galaxy Note 4.’ – AFP