Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali jumpa Sepanyol lagi di San Siro

    MILAN, 5 OKT – Itali dan Sepanyol sekali lagi berdepan dalam perlawanan separuh akhir esok, namun kali ini dalam aksi Liga Negara-Negara di San Siro di mana mengimbas kembali perlawanan separuh akhir Euro 2020.

    Sepanyol tewas menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir Euro 2020 pada Julai lalu sebelum Azzurri muncul dinobatkan sebagai juara dan merupakan musim panas yang tidak dapat dilupakan untuk pasukan Itali.

    Skuad Roberto Mancini kini tidak tewas 37 perlawanan dan dijangka bakal diperkuatkan pasukan yang sama ketika mereka menewaskan England di final Euro sebagai juara di Wembley.

    “Kami akan berdepan skuad Itali yang hebat. Mereka memang layak menewaskan England di final Euro 2020 dan kekal tanpa kalah untuk tempoh sangat lama,’’ kata jurulatih Sepanyol, Luis Enrique selepas mengumumkan senarai pemainnya.

    “Tetapi seperti kata pakar fisiologi kami, kekalahan boleh berlaku kepada semua pasukan dan detik itu makin menghampiri mereka.”

    Mancini pula mengakui Sepanyol pasukan paling sukar ditewaskan ketika Euro 2020.

    “Mereka pasukan hebat dengan ramai pemain yang bagus. Ia pasti perlawanan yang menarik,” katanya kepada uefa.com. Itali akan menampilkan pemain tengah Roma, Lorenzo Pellegrini yang pada Ahad lalu meledakkan gol keenamnya musim ini dalam semua kejohanan manakala penyerang Juventus Moise Kean, pertahanan AC Milan Davide Calabria dan pemain muda Inter Milan Federico Dimarco turut tersenarai pada saat akhir.

    Ketiga-tiga mereka sebagai pemain menggantikan Ciro Immobile, Rafael Toloi dan Matteo Pessina. Bagi Dimarco, ini merupakan panggilan pertama bersama skuad kebangsaan selepas membuat penampilan sulung ketika berusia 23 tahun di Inter Milan, di mana dia telah memberikan prestasi mengagumkan sejauh ini musim ini.

    Perlawanan turut menyaksikan kepulangan semula Gianluigi Donnarumma ke San Siro selepas meninggalkan AC Milan untuk menyertai Paris Saint-Germain dengan yuran perpindahan percuma pada musim panas lalu. – AFP

    Gambar fail pada 5 September lalu menunjukkan reaksi penjaga gawang Itali, Gianluigi Donnarumma semasa perlawanan di Stadium St Jakob-Park di Basel. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda