Itali lancar penerbangan ‘tanpa virus’ pertama

ROM, 26 NOV – Itali akan menawarkan koridor bebas koronavirus pertama Eropah dengan Amerika Syarikat (AS) untuk penumpang yang telah diuji negatif dijangkiti COVID-19, membatalkan peraturan mewajibkan ketibaan baharu untuk menjalani kuarantin.

Lapangan terbang Rom Fiumicino berkata hari ini ia telah mencapai satu perjanjian dengan syarikat penerbangan Itali, Alitalia dan Delta Air Lines dari AS untuk penerbangan khas di antara bandar terpilih Amerika Utara dan ibu negara Itali mulai bulan depan.

Koridor yang sama juga akan dilaksanakan di antara Rom dan bandar Jerman Munich dan Frankfurt, katanya.

Tindakan itu menyusuli pelancaran penerbangan domestik tanpa virus pada September di antara Rom dan ibu negeri kewangan Milan.

“Protokol perjalanan baharu, dirancang pada tahap percubaan untuk penerbangan dari AS ke Fiumicino, akan ditawarkan secara berperingkat-peringkat kepada penumpang pada Disember,” kata Fiumicino dalam satu kenyataan.

“Fasa percubaan bertujuan menilai keberkesanan dan fungsi mod perjalanan baharu, dengan matlamat menjadikannya lebih mudah diperoleh menjelang musim panas 2021,” tambahnya.

Lapangan terbang berkata pelawat yang tiba dari lapangan terbang JFP New York dan mereka dari Newark dan Atlanta di AS boleh dikecualikan daripada kuarantin dengan menjalankan ujian 48 jam sebelum berlepas dan semasa mendarat di Rom. – AFP