Itali lanjut tempoh berkurung hingga 3 Mei

ROM, 10 APRIL – Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, hari ini dilaporkan bersedia melanjutkan tempoh berkurung sehingga awal Mei, dalam usaha membendung gelombang kedua COVID-19.

Menurut laporan akhbar utama negara itu, Conte akan menyiarkan perintah rasmi sama ada pada hari ini atau esok, bagi melarang orang awam bersiar-siar atau melepak di taman sehingga 3 Mei depan.

Laporan mengenai keputusan itu berikutan rundingan dengan saintis kerajaan dan pemimpin rantau itu.

Kes kematian COVID-19 di Itali dilaporkan sudah mencecah 18,279 kes setakat hujung Februari lalu sekali gus menjadikan angka itu paling tinggi di dunia.

Bagaimanapun, kes harian jangkitan terbaharu menunjukkan penurunan besar dan Itali juga secara berperingkat-peringkat mencapai tahap di mana individu yang dijangkiti penyakit itu mula menurun.

Akhbar The Corriere della Serra melaporkan, Conte akan tunduk kepada tekanan yang meningkat dan membenarkan sebahagian kecil perniagaan beroperasi semula apabila larangan sekarang berakhir pada 13 April ini.

Ini termasuk premis menjual buku dan alat tulis serta syarikat kayu dan kilang pembuatan mesin pertanian. Kerajaan dan saintis negara itu juga dilaporkan merasakan jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi itu hanya membabitkan sedikit interaksi di antara manusia.

Dalam tempoh berkurung sekarang, hanya kedai runcit dan farmasi dibenarkan beroperasi sejak perintah berkurung dilaksanakan di tengah-tengah kemuncak wabak yang melanda negara Mediterranean pada 12 Mac lalu. – AFP

Pemandangan Piazza de Duomo yang lengang di tengah Milan pada 9 April ketika perintah berkurung yang dikenakan bertujuan mengawal penularan COVID-19. – AFP