Itali pamer kemampuan

AMSTERDAM, 8 SEPT – Itali melonjak di tangga teratas kumpulan saingan Liga Negara-Negara UEFA selepas mencatatkan kemenangan meyakinkan 1-0 ke atas Belanda namun berdepan kebimbangan bintang sedang meningkat naik, Nicolo Zaniolo yang mungkin mengalami kecederaan lutut serius.

Tandukan padu Nicolo Barella pada hujung separuh masa pertama mencukupi untuk anak buah Roberto Mancini meraih tiga mata penuh di Amsterdam sekali gus mengungguli Liga A, Kumpulan 1.

Azzurri mempunyai kelebihan satu mata berbanding Belanda yang beraksi di bawah bimbingan jurulatih sementara, Dwight Lodeweges selepas Ronald Koeman berhijrah ke Barcelona.

“Saya gembira dengan kekuatan mental dan prestasi pemain. Mereka beraksi dengan sangat cemerlang,” kata Mancini kepada stesen televisyen Itali, Rai. Mancini melakukan beberapa rombakan berbanding ketika seri 1-1 dengan Bosnia Jumaat lalu yang menamatkan rekod 11 kemenangan berturut-turut.

“Anda tidak memenangi 11 perlawanan jika anda tidak mempunyai mentaliti yang kuat.

Aksi magis Barella ketika percubaan melakukan jaringan pada perlawanan menentang Belanda di Johan Cruijff ArenA di Amsterdam, awal pagi kelmarin. – AP

Pasukan yang kami tewaskan pada kempen kelayakan Euro 2020 tidak sebaik Belanda atau Jerman.

“Namun untuk memenangi perlawanan masih sukar,” kata bekas jurulatih Inter Milan dan Manchester City itu.

Di sebalik kemenangan itu, Itali terpaksa membayar harga tinggi selepas Zaniolo dilihat mengalami kecederaan lutut pada babak pertama.

Pemain berusia 21 tahun itu baru sahaja kembali beraksi selepas mengalami kecederaan serius di lutut kiri.

Namun Mancini pada sidang media menegaskan pemain tengah itu kekal tenang dan tidak mengalami rasa sakit yang serius. – AFP