Itali perintah kuarantin 14 hari

ROM, 12 OGOS – Itali telah mula mengeluarkan perintah kuarantin baharu bagi orang yang kembali dari negara-negara Eropah yang berisiko tinggi seperti Sepanyol dan Greece dalam usaha membendung wabak COVID-19.

Pihak berkuasa kesihatan bimbang bahawa penduduk Itali yang pulang dari percutian di luar negara mungkin membawa pulang virus tersebut dan menyebarkannya pada musim panas ketika orang ramai berkumpul di luar, di pantai, di festival atau pesta.

Kerajaan juga mengkaji semula apakah mereka akan mengeluarkan kembali sekatan yang lebih ketat, seperti mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di tempat awam itu selepas perintah itu dilonggarkan.

Presiden Emilia Romagna hari ini dijangka menandatangani perintah yang mewajibkan ujian COVID-19 untuk sesiapa yang kembali dari Sepanyol, Greece dan Malta, semua negara wilayah Schengen di mana perjalanan dengan Itali tidak diketatkan.

Mereka yang pulang dari Croatia juga wajib dikuarantin. Perintah wajib kuarantin 14 hari bermula hari ini di wilayah selatan Puglia dan Campania untuk orang yang kembali dari Sepanyol, Greece dan Malta.

“Dalam dua hari terakhir, kami telah mencatat banyak kes dari penduduk Puglia yang didapati positif setelah kembali dari Greece, Malta, Sepanyol, negara-negara jangkitan virus yang tinggi,” kata presiden wilayah Puglia, Michele Emiliano.

Lebih 251,000 orang telah dijangkiti dan lebih dari 35,000 maut di Itali, negara Eropah pertama yang terkena wabak itu. Lebih 13,000 orang kini dijangkiti. – AFP