Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Itali, Portugal terdesak beraksi di Piala Dunia

    PARIS, 23 MAC – Harapan beraksi di Piala Dunia bagi dua juara Eropah berada dalam keadaan bahaya dengan Portugal dan Itali berkemungkinan bertemu dalam kelayakan playoff penting pada hujung minggu hadapan.

    Kemungkinan besar pertemuan di Porto antara pemenang EURO 2016, yang dipimpin oleh Cristiano Ronaldo, dan pasukan Itali yang menggantikan mereka sebagai juara Eropah tahun lalu adalah pertemuan yang menarik perhatian.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan mesti berjaya melepasi halangan pusingan separuh akhir pada hari ini, dengan Portugal akan melayani kunjungan Turki sementara Itali akan berdepan Macedonia Utara.

    Kegagalan untuk bermain Piala Dunia tahun ini akan menjadi malapetaka buat The Azzurri, yang sentiasa beraksi di pusingan final sejak 1958 sehingga mereka terlepas beraksi pada 2018 apabila mereka tewas dalam perlawanan playoff kepada Sweden.

    The Azzurri kembali bangkit selepas Roberto Mancini mengambil alih tugasan dan memenangi EURO 2020 dan mencatat rekod dunia dengan 37 perlawanan tanpa kalah.

    “Matlamat kami adalah untuk memenangi Piala Dunia, dan untuk memenanginya kami perlu memenangi baki dua perlawanan. Tiada perkara lain perlu diperkatakan,” Mancini berkata pada Isnin.

    Itali akan menjadi tuan rumah kepada Macedonia Utara di Palermo, dan mereka tidak akan memandang rendah lawan mereka itu.

    Macedonia Utara sebelum ini berjaya menewaskan Jerman di gelanggang lawan dalam pusingan kelayakan tahun lalu sebelum membuat penampilan sulung dalam kejohanan utama di EURO 2020, dan mereka turut berjaya mengikat Itali dengan mencatat keputusan seri di Turin pada pusingan kelayakan Piala Dunia lalu.

    “Kami tidak akan pergi ke Itali untuk melancong, tetapi kami akan memberi tentangan dan memenangi perlawanan,” kata jurulatih Macedonia Utara, Bobi Milevski, yang menyasarkan pasukannya untuk bermain dalam Piala Dunia buat kali pertama.- AFP

    Aksi pemain tengah Itali Nicolo Barella membuat percubaan semasa pertemuan antara Inter Milan dan Fiorentina di San Siro. Harapan Itali dan Portugal untuk beraksi di Piala Dunia dalam bahaya kerana kemungkinan kedua-dua pasukan bertemu di kelayakan playoff pada hujung minggu hadapan.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...