Itali rekod kematian terendah dalam enam minggu

ROM, 26 APRIL – Itali pada Sabtu melaporkan 415 kematian baharu akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, peningkatan harian terendah sejak 18 Mac, sekali gus memberi isyarat menggalakkan, lapor agensi berita Xinhua.

Pada Jumaat angka korban dicatatkan seramai 420 orang, menurut Jabatan Perlindungan Awam. Jumlah keseluruhan kor-ban ialah 26,384 sejak wabak mula merebak di utara Itali, awal tahun ini.

Jumlah kes aktif pula 105,847 menurun sebanyak 680 berbanding hari sebelumnya, penurunan keenam berturut-turut.

Daripada jumlah kes positif, 2,102 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (turun sebanyak 71 pesakit berbanding hari Jumaat), 21,533 dirawat di wad biasa (turun 535 pesakit), selebihnya 77.7 peratus dikuarantin di rumah.

Seramai 63,120 pesakit pula telah pulih setakat ini.

Pada 10 Mac, Itali menguatkuasakan sekatan pergerakan di seluruh negara, dijangka sehingga 3 Mei. Selepas itu, langkah pencegahan “Tahap Dua” akan diperkenalkan menyaksikan “aktiviti sosial dan ekonomi disambung semula secara bertahap.”

Terdahulu, Pesuruhjaya Khas Darurat COVID-19, Domenico Arcuri, berkata ujian darah untuk mengesan antibodi koronavirus baharu akan bermula pada 4 Mei. – Bernama

Polis berkuda mengawasi Via della Conciliazione di St Peter’s Square di Vatican City, Rom ketika perintah berkurung bertujuan mengekang jangkitan COVID-19. – AFP