Itali, Switzerland seri tanpa jaringan

BASEL, 6 SEPT – Itali meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada 36 perlawanan semalam dalam aksi kelayakan Piala Dunia apabila seri tanpa jaringan menentang Switzerland yang menyaksikan mereka kini menguasai kedudukan Kumpulan C dalam misi mereka melayakkan diri ke final 2022 di Qatar.

Juara Eropah bawah bimbingan Roberto Mancini melakarkan keputusan seri menentang Sepanyol dan Brazil serta seri 1-1 dengan Bulgaria pada Khamis lalu.

Itali yang mencatatkan kemenangan luar biasa bermula dengan kekalahan 0-1 kepada Portugal pada September 2018 dan kemudiannya mengekalkan penguasaan Kumpulan C dengan 11 mata dari lima perlawanan.

Switzerland empat mata di belakang namun masih mempunyai dua perlawanan di tangan.

Selepas gagal memecahkan kebuntuan, peluang datang pada separuh masa kedua apabila pemain Chelsea, Jorginho mengambil sepakan penalti.

Itali merasakan saat yang dinanti tiba apabila VAR memberikan keputusan untuk mengha-diahkan penalti selepas Ricardo Rodriguez melakukan kekasaran ke atas Domenico Berardi.

Namun penjaga gol Yann Sommer merebahkan badan ke kiri bagi menghalang sepakan berkenaan dan keputusan itu kekal sehingga tamat permainan.

Sommer memainkan peranan besar dalam perlawanan itu yang mana pemain Bundesliga menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pada separuh masa pertama.

Itali akan berdepan Lithuania pada Rabu ini dengan Switzerland akan bertemu Ireland Utara. – AFP

Aksi Federico Chiesa dari Itali semasa cuba merebut bola dari Fabian Frei dari Switzerland dalam perlawanan kelayakan Kumpulan C Piala Dunia 2022 di Stadium St. Jakob-Park di Basel, Switzerland, semalam. – AP