Itali tetap kebal di peringkat kumpulan

ROM, 21 JUN – Matteo Pessina menjaringkan gol ketika Itali mencatatkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan di Euro 2020 dengan mengalahkan Wales 1-0, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk menduduki kedudukan teratas Kumpulan A kelmarin dengan dua-dua pasukan mara ke pusingan ke-lompok 16 terakhir.

Dengan gol Pessina tersebut bermakna Itali akan menentang pasukan di tangga kedua Kumpulan C di pusingan seterusnya, dengan Wales akan bertemu pasukan kedua di Kumpulan B.

Dalam perlawanan ke-35 mengendalikan The Azzuri yang gagal untuk layak ke Piala Dunia 2018, pasukan Roberto Mancini ini juga menyamai rekod Itali berusia 80 tahun. Itali melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 30 perlawanan – 25 menang dan lima kali seri – pencapaian kali terakhir dikecap di bawah kendalian jurulatih pemenang Piala Dunia dua kali, Vittorio Pozzo antara tahun 1935 dan 1939.

Kemenangan tersebut adalah yang ke-11 berturut-turut tanpa bolos buat Itali yang sudah mengesahkan kedudukan di pusingan kalah mati dengan berbaki satu perlawanan.

Itali akan bertemu Ukraine atau Austria di Wembley pada 26 Jun untuk tempat mara ke pusingan suku akhir.

Wales, pasukan beraksi di separuh akhir Euro 2016, bermain dengan 10 orang bagi sebahagian besar tempoh separuh masa kedua selepas Ethan Ampadu dilayangkan kad merah kerana mengasari Federico Bernardeschi.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan Wales, Gareth Bale tidak mampu menambah gol dan terlepas peluang menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua.

Jurulatih Wales, Robert Page membuat tiga pertukaran dengan Ben Davies, Chris Mepham dan Kieffer Moore diletakkan ke bangku simpanan. Mancini membawa muka baharu dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan dengan lapan perubahan, dan tiga pemain diletakkan di bahagian menyerang terdiri daripada Federico Chiesa, Andrea Belotti dan Federico Bernardeschi. – AFP

Aksi Matteo Pessina menjaringkan gol semasa pertemuan menentang Wales dalam peringkat kumpulan kejohanan Euro 2020, baru-baru ini.- AP