Itali uji penutup hidung, mulut perubatan

BOLOGNA, ITALI, 16 APRIL – Sekumpulan doktor dan saintis lain di Bologna sedang menguji penutup hidung dan mulut baharu untuk memastikan ia memenuhi standard keselamatan EU, dengan harapan dapat dihantar dengan segera kepada pekerja perubatan yang memerangi koronavirus.

Sekumpulan profesional di Policlinico di Hospital Sant’Orsola Universiti Bologna sedang bekerja siang dan malam untuk me-nguji dan mengesahkan prototaip penutup hidung dan mulut mengikut standard keselamatan Eropah.

Penutup tersebut telah dikeluarkan oleh lebih 100 syarikat di Itali, England, Jerman dan Korea Selatan. Kekurangan penutup untuk pekerja hospital telah menjadi cabaran berterusan di Itali dan seluruh dunia sejak krisis koronavirus meletus, dan ramai telah bekerja tanpa perlindungan, sekali gus membahayakan nyawa mereka.

Lebih 100 doktor telah meninggal dunia di Itali sahaja, menurut anggaran.

“Bukan senang untuk membuat penutup. Ia nampak seperti perkara kecil namun bukan sebenarnya,” beritahu jurutera kimia dan bahan Christiana Boi kepada AFP semalam.

“Anda perlu meninggalkannya terbuka untuk membolehkan anda bernafas, namun dapat ditutup untuk menyekat aerosol.”

Dalam makmal sementara, beberapa siri ujian telah dilakukan oleh sekumpulan 30 doktor, jurutera, ahli farmasi, ahli mikrobiologi dan pakar kimia.

Ujian pertama adalah memeriksa keupayaan bernafas menerusi penutup. Sekurang-kurangnya setengah daripada kesemua penutup gagal dalam ujian pertama ini, kata Boi. Penutup seterusnya disembur dengan partikel bakteria dan diuji utuk melihat jumlah peratusan yang dapat menembusinya. Dua jenis penutup yang diuji mempunyai nilai ambang 95 peratus dan 98 peratus. “Kami berusaha mengurangkan masa ujian kepada beberapa hari,” kata Francisco Violante, ketua sekolah perubatan pekerjaan universiti yang mengetuai makmal itu. – AFP

Kakitangan perubatan memakai peralatan perlindungan peribadi di unit COVID-19 hospital Policlinico Sant’Orsola-Malpighi di Bologna, Itali. – AFP