Itali wajibkan ‘Pas Hijau’ untuk semua pekerja

ROM, 17 SEPT – Itali semalam memutuskan untuk mewajibkan ‘Pas Hijau’ ke atas semua pekerja, dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 menjelang musim sejuk, tidak lama lagi.

Undang-undang itu yang bakal menghukum pekerja tidak mendapatkan vaksinasi atau tiada bukti keputusan negatif ujian saringan COVID-19 yang terbaharu, dijadualkan berkuat kuasa 15 Oktober depan.

“Kewajipan ‘Pas Hijau’ diperluaskan kepada seluruh dunia pekerjaan, dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Kami melakukannya berasaskan dua sebab utama, iaitu untuk menjadikan tempat berkenaan lebih selamat dan memperkukuhkan kempen vaksinasi,” kata Menteri Kesihatan, Roberto Speranza, pada sidang media selepas kerajaan mengumum keputusan berkenaan.

‘Pas Hijau’ adalah sijil yang menunjukkan sama ada seseorang itu sudah menerima vaksinasi COVID-19, negatif ujian saringan COVID-19 dalam tempoh 48 jam lalu, atau baru sembuh daripada penyakit berkenaan.

Buat masa ini, pas itu diwajibkan untuk makan di restoran, memasuki panggung wayang dan stadium sukan, menaiki kereta api dan bas antara bandar atau penerbangan domestik, serta ke atas guru.

Di bawah undang-undang baharu itu, mana-mana pekerja yang gagal menunjukkan pas terbabit akan dikenakan denda hingga 1,000 euro (AS$1,200), menurut laporan media. – AFP

Seorang pekerja sekolah memeriksa “Pas Hijau’ seorang guru ketika dia tiba di sekolah tinggi Isacco Nrewton di Rom. – AP