Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itik mampu atasi serangan SGE

    PENDANG – Menggunakan itik sebagai kaedah bagi mengawal populasi haiwan perosak siput gondang emas (SGE) akan diperluaskan di seluruh daerah ini dalam usaha mengurangkan beban kos operasi petani yang meningkat.

    Pegawai Pertanian Daerah Pendang Ja’afar Abu Bakar berkata percubaan menggunakan 300 ekor itik jawa di kawasan Projek Sawah Gemilang, Kampung Charuk Kering di sini mendapati, ia berjaya mengawal hingga 100 peratus populasi siput itu jika dipraktikkan secara berterusan.

    “SGE akan memakan biji benih yang ditabur di petak sawah, ancamannya sungguh besar kerana petani perlu menabur semula benih padi atau mengeluarkan ribuan ringgit untuk membajak semula sawah mereka.

    “Dengan adanya itik jawa ini, kita berjaya mengawal secara keseluruhan kawasan sawah itu dan petani tidak lagi terbeban dengan penggunaan racun kimia yang mahal dan berbahaya kepada alam sekitar, seterusnya dapat meningkatkan hasil pengeluaran hingga tujuh tan per hektar,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

    Projek Sawah Gemilang di sini adalah projek bimbingan daripada Pejabat Pertanian daerah Pendang dengan kerjasama Bahagian Biosekuriti Tumbuhan jabatan itu, melibatkan keluasan 30.83 hektar sawah dengan pembabitan 34 peserta sejak dimulakan pada penghujung 2016.

    Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Pendang Ja’afar Abu Bakar (kiri) menunjukkan Siput Gondang Emas yang menjadi haiwan perosak kepada tanaman padi ketika ditemui di Kampung Charuk Kering. – Bernama
    Itik-itik yang dilepaskan memburu Siput Gondang Emas (SGE) yang sering memusnahkan tanaman padi di Projek Sawah Gemilang, Kampung Charuk Kering. – Bernama

    Ja’afar berkata itik jawa amat sesuai digunakan kerana ia merupakan pemburu SGE dan telur sehingga kawasan yang dilalui itik itu tidak lagi kelihatan haiwan perosak yang selama ini cukup memberi masalah besar kepada petani sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

    Ketua kelompok Omar Husaain, 52, berkata buat masa ini beliau bertanggungjawab menjaga dan memelihara itik-itik yang dibekalkan jabatan itu serta mengambil inisiatif sendiri membiakkannya menggunakan inkubator yang disumbangkan.

    “Saya menempatkan itik-itik ini di belakang rumah dan melepaskannya pada sebelah pagi untuk bergerak mencari makan siput gondang emas dan juga telur siput itu di dalam petak sawah. Saya akan bantu membekalkan itik-itik kepada peserta lain agar siput jenis ini dapat dihapuskan secara keseluruhan di daerah ini,” katanya.

    Dalam pada itu, peserta juga boleh memanfaatkannya sebaik mungkin dengan menjana pendapatan sampingan hingga kira-kira RM1,500 sebulan hasil jualan telur segar dan telur masin dalam pasaran tempatan.

    “Inisiatif ini juga mampu mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat dan mampu menjadikannya sebagai pendapatan lumayan bagi mereka yang hanya bergantung kepada hasil padi semata-mata,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda