ITQSHHB lanjutkan tawaran pengambilan pelajar baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama memaklumkan bahawa Tawaran Pengambilan Pelajar Baharu (Peringkat Menengah Tahun 7) Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi Sesi 1443H/2022M yang telah dibukakan bermula 14 Jun hingga 11 Ogos adalah dilanjutkan sehingga 25 Ogos depan.

Syarat-syarat kemasukan termasuk para pemohon mestilah rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap.

Bagi yang bukan rakyat (ibu bapa yang bertugas di jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di Negara Brunei Darussalam), boleh juga memohon dengan menghadapkan surat permohonan khas kepada Lembaga ITQSHHB melalui pengetua institut. Syarat lain adalah berumur tidak melebihi 14 tahun pada 1 Januari 2022 atau berada dalam Tahun 6 pengajian di sekolah-sekolah kerajaan atau swasta pada 2021, lulus dengan memperoleh pangkat ’C’ dalam semua mata pelajaran bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) atau yang setaraf dengannya, lulus temu duga hafazan Al-Quran yang dijalankan di ITQSHHB, berkesanggupan tinggal di asrama sepanjang tempoh pengajian, mematuhi peraturan-peraturan ITQSHHB dan penerimaan pelajar tertakluk kepada keputusan Lembaga ITQSHHB.

Borang-borang bolehlah diperoleh di Pejabat Pentadbiran ITQSHHB atau dimuat turun melalui laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), www.kheu.gov.bn.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke Pejabat ITQSHHB bermula 2 Ogos dan tidak lewat 25 Ogos semasa waktu pejabat iaitu (8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang) ke alamat ITQSHHB, Simpang 175, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan BA2112, Negara Brunei Darussalam.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi melalui talian 2222090, 2222093 atau 2222096 sambungan 206, 230 dan 234.

Borang-borang hendaklah dihantar tanpa menunggu keputusan PSR dan salinan keputusan bolehlah dihantar ke ITQSHHB sebaik sahaja keputusan diumumkan.