ITQSHHB terima 79 pelajar baru

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), hari ini, mengadakan sesi pendaftaran bagi kemasukan pelajar-pelajar baru (Tahun 7) seramai 79 orang.

Kemasukan pelajar baru yang terdiri daripada 41 pelajar lelaki dan 38 pelajar wanita itu adalah bagi sesi 2017.

Bagi pelajar-pelajar lelaki, sesi pendaftaran berlangsung di Dewan Serba Guna, Blok Asrama Lelaki ITQSHHB, manakala itu, bagi pelajar perempuan diadakan di Lobi Asrama Perempuan, Bangunan Kondominium Ong Sum Ping, ITQSHHB.

Kedua-dua acara berlangsung secara serentak dan dikendalikan oleh para pegawai dan kakitangan institut berkenaan.

Sepertimana lazimnya, para pelajar akan didaftarkan oleh para ibu bapa dan penjaga mereka, seterusnya para pelajar ditempatkan di bilik-bilik asrama masing-masing.

Pelajar baru Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama ibu bapa dan penjaga mereka pada hari pendaftaran.
Pelajar baru Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama ibu bapa dan penjaga mereka pada hari pendaftaran.

Ibu bapa pelajar diterangkan mengenai perihal pengajian di ITQSHHB.
Ibu bapa pelajar diterangkan mengenai perihal pengajian di ITQSHHB.

Setiap pelajar dikehendaki tinggal di asrama sepanjang pengajian mereka di ITQSHHB, walau bagaimanapun, mereka juga dibenarkan untuk balik ke rumah masing-masing seminggu sekali dan pada hari-hari kelepasan awam.

Ia bertujuan untuk mendidik para pelajar supaya lebih berdikari, berdisiplin dan dapat menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran Hafazan Al-Quran dan akademik yang lebih kondusif.

Beberapa aktiviti telah diaturkan sepanjang minggu Ta’aruf (minggu suai kenal) ITQSHHB yang bermula hari ini hingga 14 Januari.