Ivanka buat warga China bingung

BEIJING, 12 Jun – Pengguna media sosial China menyatakan kehairanan ke atas ‘pepatah China’ yang diungkapkan oleh anak perempuan Presiden Donald Trump yang juga penasihatnya, Ivanka, yang disiarkan di Twitter ketika bapanya bersedia menghadiri sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

“Mereka yang berkata ia tidak boleh dilakukan, tidak sepatutnya mengganggu mereka yang melakukannya – pepatah China,” tulis Ivanka semalam, sehari sebelum bapanya dan Kim bertemu untuk menamatkan ketegangan beberapa dekad berhubung nuklear.

Pengguna Internet China segera bertindak balas, lebih kepada tertanya-tanya berbanding tersinggung dengan rujukan itu.

“Editor kami benar-benar tidak tahu dari mana sebenarnya pepatah itu. Tolong bantu!” menurut saluran berita bagi Sina, syarikat di sebalik Weibo, satu platform terbesar di China yang berfungsi seperti Twitter, di akaun media sosial rasminya.

Dalam ribuan komen di Weibo, pengguna memberikan skor pelbagai cadangan tanpa mencapai persetujuan.

Gambar pada 7 Mei 2018 menunjukkan Ivanka Trump menghadiri satu acara di Taman Ros, Rumah Putih di Washington. Ivanka menjadi bualan di China setelah menggunakan ‘pepatah China’ yang tidak diketahui sumbernya. – AFP

Sebahagiannya menyatakan pepatah ‘lelaki tua bodoh menggerakkan gunung’, frasa biasa yang digunakan untuk menunjukkan kesabaran. Ia merujuk kepada dongeng seorang lelaki yang kekal dalam cubaan meruntuhkan gunung dengan menggalinya.

Keluarga Ivanka mempunyai ramai peminat di China. Anak perempuannya yang berusia enam tahun, Arabella Kushner, menjadi sensasi atas talian dengan menyanyi dalam Bahasa Mandarin dan membaca sajak Cina dalam video yang ditunjukkan kepada Presiden Xi Jinping dalam lawatan Trump ke Beijing tahun lalu.

Tetapi peribahasa misterinya dikecam di Weibo. “Dia memperolehnya dari biskut tilik nasib di Panda Express,” satu pengguna menulis.

Satu lagi berkata: “Ia masuk akal, tetapi saya masih tidak tahu di mana peribahasa itu.”

“Satu peribahasa dari Ivanka telah meletihkan sel-sel otak dari semua pengguna Internet Cina,” tulis seorang pengguna lagi. – AFP