‘Ivermectin tidak kurangkan risiko COVID-19’

KUALA LUMPUR, 3 NOV – Hasil dapatan Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin Untuk Pesakit COVID-19 Berisiko Tinggi (I-TECH) oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) tidak mengesyorkan Ivermectin dimasukkan dalam garis panduan rawatan COVID-19 sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana Ivermectin tidak mengurangkan risiko penyakit COVID-19 tahap teruk.

“KKM (Kementerian Kesihatan) menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, keputusan I-TECH selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID-19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan COVID-19.

Beliau berkata kajian I-TECH dijalankan ke atas 500 pesakit COVID-19 kategori dua atau tiga yang dimasukkan ke hospital dengan menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard berbanding dengan hanya penjagaan standard.

Gambar fail pada Ogos 2021 menunjukkan Ivermectin yang tidak mengurangkan risiko penyakit COVID-19 tahap teruk. – Bernama

Dr Noor Hisham berkata hasil utama kajian I-TECH adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat Ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit COVID-19 berupaya untuk mencegah kemerosotan penyakit COVID-19 kepada tahap yang teruk (kategori empat atau lima) iaitu dalam kalangan pesakit berusia 50 tahun dan ke atas serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

Beliau berkata penyelidik utama kajian I-TECH yang juga Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Dr Steven Lim Chee Loon mendapati tiada perbezaan ketara dari segi kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan sinar-X dada antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Menurut Dr Noor Hisham, kebarangkalian untuk pulih daripada gejala sepenuhnya pada hari kelima penyertaan antara kumpulan Ivermectin dan kumpulan SOC adalah hampir sama di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.

Selain itu analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku dalam kumpulan Ivermectin berbanding kumpulan SOC dengan kebanyakannya adalah kes cirit-birit, katanya.

Dr Noor Hisham berharap dapatan kajian tempatan berkenaan dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan COVID-19.

Beliau turut mengingatkan pengamal perubatan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat COVID-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia. – Bernama